NEW YORK, 4 Jun (Bernama-Xinhua) -- Meskipun berdepan kelewatan ketara yang berlaku di sebuah pusat pemeriksaan baharu Israel, rakan kongsi kemanusiaan berjaya mengumpulkan lebih 1,000 palet bekalan penting untuk Semenanjung Gaza dalam tempoh sehari, menurut petugas kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu, lapor Xinhua.
Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) menyatakan bahawa palet yang dikumpulkan di Lintasan Kerem Shalom/Karem Abu Salem pada Selasa itu merangkumi kit kebersihan, kain terpal, selimut dan ubat-ubatan.
OCHA memaklumkan konvoi yang menuju ke Kerem Shalom/Karem Abu Salem untuk mengambil kargo kemanusiaan menerusi pusat pemeriksaan baharu di selatan Gaza masih mengalami kelewatan yang ketara.
“Semalam (Selasa), kesesakan di pusat pemeriksaan baharu itu menghalang enam lori tangki bahan api daripada tiba di Kerem Shalom, sekali gus mengurangkan jumlah bahan api yang dapat dikumpulkan dari lintasan itu dengan ketara,” kata OCHA.
“Bekalan bahan api yang berterusan amat penting bagi memastikan hospital, loji penyahgaraman dan perkhidmatan penting lain yang menyokong kelangsungan hidup dapat terus beroperasi ketika ketiadaan grid elektrik yang berfungsi.”
Lintasan Kerem Shalom/Karem Abu Salem merupakan satu-satunya laluan masuk bagi kargo kemanusiaan ke Gaza.
Mengenai aspek kesihatan, OCHA menyatakan bahawa sepanjang dua minggu terakhir Mei, hampir 100 pesakit dan lebih 130 penjaga telah dipindahkan dari Gaza menerusi Lintasan Kerem Shalom/Karem Abu Salem dan Rafah, dengan sokongan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta rakan kongsi.
Bagaimanapun, pejabat itu memaklumkan bahawa ribuan pesakit, kebanyakannya mengalami kecederaan serius yang mengubah kehidupan, masih memerlukan rawatan perubatan khusus yang tidak tersedia di Gaza.
Laluan rujukan ke kemudahan perubatan di Tebing Barat, termasuk Baitulmuqaddis Timur, masih disekat pihak berkuasa Israel.
“Peningkatan perkhidmatan kesihatan di Gaza amat diperlukan segera, dan ini memerlukan usaha mempermudah kemasukan lebih banyak peralatan kritikal serta bekalan perubatan,” kata OCHA.
Rakan kongsi kemanusiaan yang memberi tumpuan kepada bekalan air melaporkan pengeluaran air keseluruhan di Gaza merosot kira-kira 20 peratus pada Mei berbanding dua bulan sebelumnya, sebahagian besarnya disebabkan kekurangan bahan kimia dan alat ganti.
OCHA sekali lagi menyeru supaya kemasukan alat ganti, pam, paip, minyak enjin dan bahan kimia rawatan air dilakukan secara berterusan bagi memastikan bekalan air serta perkhidmatan penting lain sampai kepada penduduk yang memerlukan di seluruh Gaza.
-- BERNAMA-XINHUA