SUKAN

Muhammad Azeem Bantu Kuartet Universiti Auburn Pecah Rekod NCAA

11/06/2026 07:37 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi membantu kuartet Universiti Auburn memecahkan rekod kolej NCAA acara lari berganti-ganti 4x100 meter (m) lelaki pada Kejohanan Olahraga NCAA di Eugene, Oregon, Amerika Syarikat pada Rabu.

Kuartet dibarisi Muhammad Azeem bersama Kayinsola Ajayi, Austin Kresley dan Tyler Davis itu mencatat masa 37.75 saat (s) dalam saingan separuh akhir, sekali gus memperbaharui rekod sebelum ini iaitu 37.90s yang dilakukan Universiti Louisiana State (LSU) pada Mei 2023.

Keputusan itu sekali gus menempatkan Auburn di pentas final.

Terdahulu, Muhammad Azeem diberi tanggungjawab sebagai pelari pertama sebelum larian mantap rakan sepasukannya memastikan pasukan itu menamatkan saingan dengan catatan rekod baharu NCAA.

Selain Auburn, beberapa pasukan pilihan lain turut mengesahkan tempat ke final acara 4x100m lelaki itu.

University of Arkansas mencatat masa 38.32s diikuti University of Houston (38.34s), LSU (38.40s), University of Tennessee (38.47s), North Carolina A&T State University (38.53s), University of Oregon (38.54s), Ohio State University (38.64s) dan Mississippi State University (38.73s).

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2567351