KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) – Ketua jurulatih beregu lelaki negara Herry Iman Pierngadi mengakui rombakan besar melibatkan gandingan beregu lelaki negara merupakan satu risiko diambil pihaknya.
Herry menyifatkan tindakan tersebut termasuk memisahkan juara dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik sebagai langkah berani yang perlu diambil, bagi mencari kombinasi terbaik sekali gus mampu mencapai keputusan baik diharapkan menjelang kempen kelayakan Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA 2028) tahun depan.
“Kita sememangnya harus berani ambil risiko itu. Kalau kita tidak berani cuba, hasilnya lebih kurang sama.
“Hampir semua negara lain juga mungkin akan buat seperti itu (rombakan). Langkah ini merupakan risiko yang kita telah ambil kira,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini, hari ini.
Minggu lepas, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan rombakan tersebut melibatkan Wooi Yik yang akan digandingkan dengan Man Wei Chong bagi menghadapi saingan Terbuka Jepun 2026 dari 14-19 Julai ini.
Bagi siri kejohanan seterusnya iaitu Terbuka China (21-26 Julai), Terbuka Taiwan (28 Julai-2 Ogos) dan Terbuka Korea (3-8 Nov), BAM turut menetapkan beberapa kombinasi baharu melibatkan pemain kebangsaan.
Aaron akan bergandingan dengan pemain muda Aaron Tai, manakala Tee Kai Wun akan berpasangan dengan Yap Roy King.
Selain itu, Wan Arif Wan Junaidi akan membentuk gandingan bersama Kang Khai Xing, sementara pasangan Wooi Yik-Wei Chong turut disenaraikan untuk mengharungi ketiga-tiga kejohanan berkenaan.
BAM juga memaklumkan Aaron-Kai Wun dijangka membawa cabaran negara menghadapi kejohanan jelajah Eropah dijangka berlangsung Oktober ini.
Dalam pada itu, Herry menegaskan tidak wujud sebarang perselisihan faham antara Aaron dan Wooi Yik, namun perpisahan mereka dilakukan susulan prestasi dicatatkan musim ini.
Pemenang gangsa beregu lelaki Sukan Olimpik sebanyak dua kali itu, gagal merangkul sebarang gelaran dan hanya muncul naib juara sebanyak dua kali pada Terbuka Malaysia dan All England daripada sembilan penampilan tahun ini.
Ditanya mengenai sasaran diletakkan kepada pasangan baharu dalam kejohanan terdekat, jurulatih dari Indonesia itu sememangnya mahu menyaksikan mereka mencatat keputusan baik namun perlu melihat kepada undian dilakukan terlebih dahulu.
-- BERNAMA