Oleh Farah Najihah Zuraimi
KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melakukan penstrukturan semula dengan menamatkan kontrak barisan kejurulatihan skuad kebangsaan semalam disifatkan sebagai langkah sangat positif bagi memulakan transformasi total landskap bola sepak negara.
Penganalisis sukan tempatan Zakaria Rahim berkata tindakan drastik itu merupakan isyarat jelas bahawa badan induk tersebut kini berada dalam fasa transformasi besar-besaran seperti dituntut penyokong selama ini.
Zakaria atau lebih dikenali dengan panggilan Zack Rahim berkata langkah tersebut secara tidak langsung mengembalikan semula kuasa teknikal ke tangan FAM, sekali gus menyahut seruan peminat tegar termasuk Ultras Malaya yang mahukan entiti Harimau Malaya dirombak semula.
“Penamatan kontrak itu adalah satu langkah sangat positif yang saya dan para penyokong alu-alukan. Kalau kita nak reformasi balik FAM, biar kita reformasi dari mula,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata langkah berkenaan juga sebagai strategi pengurusan kewangan lebih efisien menerusi rasionalisasi perbelanjaan, sekali gus membolehkan dana tersebut disalurkan semula kepada program pembangunan yang lebih kritikal.
Mengulas mengenai hala tuju pasukan menjelang Piala ASEAN dan Piala ASEAN FIFA, Zakaria berkata FAM diharapkan tidak mencari calon luar buat masa ini, sebaliknya memanfaatkan kepakaran dalaman yang terbukti berkesan.
Beliau berkata Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) Datuk Ong Kim Swee ialah individu paling ideal untuk menggalas tugas pengendali interim berdasarkan rekod dan pengalaman luasnya.
"Langkah penugasan semula itu adalah pendekatan paling praktikal memandangkan Kim Swee sedia ada dalam sistem badan induk tersebut, selain mengambil kira kekangan pentadbiran FAM untuk menawarkan kontrak baharu sebelum pembentukan barisan kepimpinan tetap.
“Kim Swee memang staf, jadi boleh menugasinya semula. Bukan kontrak baharu. Dia kekal kontrak Pengarah NFDP tetapi tugaskan untuk kumpul pemain sementara tunggu September untuk melantik jawatankuasa baharu FAM. Itu saja pilihan saya nampak wujud,” katanya.
Sementara itu, pemerhati bola sepak tempatan Datuk Dr Pekan Ramli turut sependapat dengan menyifatkan keputusan tersebut sebagai langkah tepat dan wajar demi menyelaraskan semula struktur pengurusan mengikut saranan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Beliau berkata ketiadaan ketua jurulatih tetap buat masa ini seharusnya menjadi medan terbaik buat pemain tempatan mempamerkan kekuatan dalaman bagi memulihkan imej serta kepercayaan peminat yang tercalar ekoran pelbagai isu sebelum ini.
“Sekarang ini kita nak lihat pemain kita... adakah mereka mempunyai kesedaran tinggi nak memulihkan imej... kesedaran kuat dan menepis persepsi bahawa pemain tempatan kita tak boleh buat. Terpulang kepada pemain tempatan kita nak menepis segala persepsi negatif itu,” katanya.
Terdahulu, FAM mengesahkan kontrak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya Robert Douglas Friend atau Rob Friend ditamatkan secara persetujuan bersama berkuat kuasa 1 Jun.
Kontrak ketua jurulatih Harimau Malaya Peter Cklamovski bersama dua anggota barisan teknikal skuad senior Matthew Smith dan Seiya Imazaki, turut ditamatkan atas persetujuan bersama berkuat kuasa 16 Jun.
Selain itu, turut ditamatkan atas alasan sama kontrak ketua jurulatih pasukan Bawah-23 negara Nafuzi Zain dan jurulatih penjaga gol Mohd Yazid Mohd Yassin berkuat kuasa 15 Jun.
-- BERNAMA