KOTA KINABALU, 13 Jun (Bernama) -- Kerajaan akan mempertimbangkan penyediaan Geran Padanan berjumlah RM5 juta menerusi Belanjawan 2027 bagi mendukung aktiviti pengukuhan identiti nasional, semangat patriotisme dan perpaduan rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif yang akan dikendalikan oleh Arkib Negara Malaysia itu merangkumi usaha menghidupkan semula 10 Memorial Negarawan di seluruh negara dan mempercepat pendigitalan khazanah sejarah negara.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata inisiatif berkenaan turut melibatkan pelaksanaan pameran interaktif di kawasan tumpuan rakyat seperti institusi pendidikan, pusat beli-belah dan hab pengangkutan awam.
“Saya juga ingin mencadangkan kepada Kerajaan Negeri Sabah supaya mempertimbang penyediaan tapak bersesuaian untuk pembangunan Memorial Negarawan Sabah bagi menghargai jasa dan pengorbanan tokoh-tokoh yang telah membentuk sejarah negeri dan negara,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan Negara peringkat kebangsaan 2026 di pekarangan Kompleks Sukan Likas di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, menteri-menteri Kabinet Persekutuan dan negeri serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Anwar berkata Kerajaan MADANI juga akan menyediakan geran aktiviti berjumlah RM10,000 kepada 189 Sekretariat Rukun Negara di institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara bagi melaksanakan program kenegaraan, patriotisme dan perpaduan dalam kalangan mahasiswa.
Selain itu, geran sebanyak RM5,000 disediakan kepada 6,849 Kelab Rukun Negara di sekolah-sekolah untuk menghidupkan amalan serta penghayatan prinsip Rukun Negara sejak di peringkat awal persekolahan.
“Inisiatif ini akan melahirkan lebih ramai Duta Kecil Rukun Negara dan memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan pelajar pelbagai kaum.
“Ia turut mengaktifkan semula pelaksanaan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan sebagai platform interaksi dan integrasi nasional yang lebih berkesan,” kata Anwar.
Perdana Menteri menegaskan semua inisiatif berkenaan bertujuan memperkukuh penghayatan dan pembudayaan Rukun Negara dalam kalangan generasi muda secara berterusan.
Dalam pada itu, Anwar mengingatkan rakyat supaya tidak leka atau menganggap perpaduan akan kekal secara semula jadi tanpa usaha berterusan untuk memupuk serta mempertahankannya.
Beliau berkata masyarakat yang telah lama menikmati keamanan adakalanya terlepas pandang bahawa terdapat pelbagai pengaruh yang boleh menghakis nilai kebersamaan dan menanam perasaan bertentangan dengan semangat perpaduan.
Sehubungan dengan itu, Anwar merakamkan penghargaan kepada Kementerian Perpaduan Negara atas peranan penting dalam menyemarakkan semangat perpaduan sejak penubuhannya tiga tahun lepas.
“Jangan leka dan menganggap perpaduan akan kekal dengan sendiri… perpaduan perlu dipupuk dan dipertahankan daripada sebarang usaha yang boleh memecahbelahkan masyarakat,” kata beliau.
-- BERNAMA