LABUAN, 13 Jun (Bernama) -- Usaha pembasmian kemiskinan di Labuan perlu melangkaui bantuan kewangan dan menumpukan kepada pemerkasaan rakyat supaya mampu menjana pendapatan yang mampan serta meningkatkan kualiti hidup mereka, kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata pendekatan multidimensi penting dalam usaha membasmi kemiskinan tegar di pulau bebas cukai itu khususnya dengan menilai bukan sahaja aspek pendapatan, tetapi juga akses kepada kemahiran, pendidikan, perkhidmatan kesihatan, perumahan serta peluang pekerjaan mampan.
“Program pembasmian kemiskinan perlu melangkaui bantuan jangka pendek dan menumpukan kepada pemerkasaan peserta supaya mereka mampu menjana pendapatan yang stabil dan meningkatkan taraf hidup.
“Kemiskinan tegar tidak dapat ditangani hanya dengan melalui bantuan kewangan. Ia memerlukan intervensi yang tersusun, pemantauan berterusan serta kerjasama yang kukuh antara universiti, agensi kerajaan dan komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada majlis penutup Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Labuan: Pengukuran Indeks Kemiskinan Multidimensi (MPI) anjuran bersama Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC) Universiti Malaya dan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKL) di sini hari ini.
Mustapa berkata inisiatif pembasmian kemiskinan tegar di Labuan yang dilaksanakan dari September 2023 hingga Disember lepas telah menjadi platform penting dalam mengenal pasti profil peserta, memperkukuh kemahiran perniagaan dan keusahawanan mereka serta memperkasakan aktiviti yang mampu menjana pendapatan.
Beliau berkata program berkenaan yang dahulu dikenali sebagai Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) sebelum dijenamakan semula kepada Inisiatif Pendapatan Rakyat-Basmi Miskin Tegar (IPR-BMT) telah dilaksanakan menerusi dua fasa melibatkan komuniti terpilih di seluruh kawasan Labuan.
Fasa pertama melibatkan 44 peserta dari Kampung Patau-Patau I, Kampung Patau-Patau II dan Kampung Sungai Bedaun, dengan masing-masing menerima bantuan peralatan perniagaan serta memulakan aktiviti yang disasarkan untuk meningkatkan pendapatan isi rumah masing-masing.
Fasa dua pula terdiri daripada 20 peserta dari beberapa kawasan termasuk Kampung Muslim, Kampung Baru, Kiamsam, Kampung Bebuloh, Kampung Gersik dan Kampung Batu Arang, dengan proses pemprofilan dilaksanakan bagi mengenal pasti keperluan peserta serta bidang sokongan yang berpotensi.
Mustapa berkata program berkenaan turut mendedahkan peserta kepada kursus pembangunan platform perniagaan dalam talian serta latihan kemahiran khusus bagi memperkukuh modal insan dan membantu mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran perniagaan yang dinamik.
Beliau turut memuji UMSKAL selaku perunding pelaksana program tersebut, terutamanya dalam menjalankan pemprofilan peserta, memantau pelaksanaan program serta menyediakan latihan berkaitan pembangunan perniagaan dalam talian.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah UMSKAL Prof Dr Shamsul Bahari Shamsudin, Timbalan Dekan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) UMS Dr Ricky Chia serta Pengarah UAC Datin Seri Prof Dr Suhaiza Hanim Mohamad Zailani.
-- BERNAMA