LABUAN, 4 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan menahan seorang lelaki, dan merampas 750 liter cecair yang dipercayai petrol bernilai RM2,940 dalam serbuan di sebuah jeti haram di Kampung Sungai Keling, di sini semalam.
Pengarah KPDN Labuan Junaidah Arbain berkata serbuan kira-kira 2 petang itu dijalankan menerusi operasi bersepadu Ops Tiris 4.0, dan pihak penguat kuasa menemukan 20 tong serta dua dram yang mengandungi cecair dipercayai petrol.
“Pemeriksaan lanjut mendapati barangan kawalan berjadual itu dipercayai disimpan tanpa permit sah atau kelulusan bertulis daripada KPDN.
“Semua barangan berkenaan telah disita untuk siasatan lanjut, manakala lelaki yang berada di lokasi turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya kepada Bernama, hari ini.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
-- BERNAMA