Oleh Atira Khalisha Nor Adnan
KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Siapa sangka, jemari yang dahulu asing dengan jarum sulaman kini mahir menghasilkan keringkam, seni warisan Sarawak yang terkenal dengan kehalusan serta kerumitan motifnya.
Bagi Mohammad Fizal Yussop, 21, kemahiran yang dipelajari ketika menjalani tempoh pemulihan di Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo, Kuching, Sarawak menjadi titik perubahan besar dalam hidupnya.
Beliau yang dibebaskan pada Disember lalu kini menemui hala tuju baharu yang memberi keyakinan untuk membina masa depan selepas menjalani latihan sulaman selama kira-kira 18 bulan, yang menuntut ketelitian dan kesabaran tinggi.
pic-2
Meskipun mengakui hampir berputus asa ketika mempelajari teknik sulaman tersebut, terutama motif sukar seperti bunga raya, beliau akhirnya berjaya menguasai kemahiran berkenaan hasil latihan berterusan bermula Mei 2023 hingga Februari 2025.
“Pada mulanya saya langsung tidak tahu apa itu keringkam. Namun apabila diberi peluang belajar, saya berasa sangat gembira dan mula meminati seni ini,” katanya kepada Bernama.
Anak kesembilan daripada 14 beradik dari Kampung Semariang, Kuching itu berkata setiap hasil sulaman mengambil masa kira-kira sebulan untuk disiapkan, dan proses berkenaan banyak membentuk dirinya menjadi lebih sabar serta berdisiplin.
“Apabila melihat hasil kerja sendiri siap, saya berasa amat gembira. Ia menjadi pemangkin semangat untuk saya teruskan minat ini ke arah yang lebih serius,” katanya.
pic-3
Kini, beliau meneruskan latihan sebagai pelatih penyulam muda menerusi Program ASPIRE anjuran Muzium Brooke dengan sokongan Yayasan Hasanah melalui Program ASPIRE Fasa 2.
Menurutnya, peluang itu bukan sahaja membuka ruang untuk mempelajari kemahiran baharu, malah memberi keyakinan untuk merancang masa depan yang lebih stabil termasuk membantu keluarga.
pic-4
Sementara itu, Ketua Muzium dan Pendidikan Muzium Brooke, Salliza Sideni berkata program berkenaan yang turut disertai 49 pelajar lain dari Sekolah Henry Gurney, Sekolah Tunas Bakti dan Taman Seri Puteri Sarawak diperkenalkan bagi memelihara seni keringkam daripada pupus.
Beliau berkata usaha itu dilaksanakan memandangkan bilangan individu mahir dalam seni keringkam semakin berkurangan dan kebanyakannya terdiri daripada golongan warga emas.
“Pada 2016, kami mendapati hanya seorang penyulam keringkam berusia bawah 30 tahun dikenal pasti, manakala yang lain berumur sekitar 70 tahun. Jika generasi muda tidak dilibatkan, bagaimana seni ini dapat diteruskan pada masa hadapan?
“Menerusi program ini, pelatih bukan sahaja mempelajari seni warisan, tetapi turut didedahkan dengan kemahiran keusahawanan serta diberikan peralatan asas bagi membolehkan mereka berdikari selepas bebas,” katanya.
pic-5
Ketua Seni dan Ruang Awam Yayasan Hasanah, Nurin Marini Ramlan berkata penggunaan seni keringkam sebagai medium pemulihan terbukti membantu peserta membentuk disiplin serta keyakinan diri.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Nini Marini berkata pendekatan menggabungkan pemuliharaan warisan dan pembangunan insan itu memberi peluang kedua kepada peserta untuk membina masa depan sambil memastikan khazanah tradisional terus terpelihara.
-- BERNAMA