AM

Citrawarna 2026 Kembali Meriahkan Dataran Merdeka Julai Ini

19/06/2026 05:23 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Citrawarna 2026 bakal memeriahkan semula Dataran Merdeka selama tiga hari bermula 24 Julai ini, dengan menghimpunkan persembahan budaya dari seluruh negara dalam satu pertunjukan yang mengetengahkan kepelbagaian tradisi, seni dan warisan Malaysia. 

Tourism Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan sambutan kebudayaan ikonik negara itu dianjurkan bersempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang bertemakan ‘Ritma Warisan, Nadi Nusa dan Bangsa’, sekali gus mengangkat Kuala Lumpur sebagai pentas utama meraikan identiti dan kepelbagaian budaya Malaysia.

Menurut kenyataan itu, pengunjung bakal disajikan dengan empat segmen utama, iaitu Citra Perarakan, Citra Rasa, Citra Budaya dan Citra Seni, yang menawarkan pengalaman menyeluruh melalui persembahan kebudayaan, hidangan tradisi, pameran seni serta pelbagai aktiviti budaya interaktif. 

“Sejak diperkenalkan pada 1999, Citrawarna atau Colours of Malaysia telah menjadi platform penting dalam mempromosikan seni, budaya, warisan serta keindahan alam semula jadi Malaysia kepada dunia,” menurut kenyataan itu.

 Citra Perarakan menampilkan perarakan budaya yang menakjubkan melalui gabungan muzik, tarian dan penceritaan oleh kontinjen dari seluruh negara manakala Citra Rasa pula meraikan warisan kulinari Malaysia yang kaya dengan hidangan tradisional serta pengalaman gastronomi asli.

Bagi Citra Budaya pula, ia mempamerkan persembahan tradisional, aktiviti bersifat kemasyarakatan dan ekspresi budaya yang mencerminkan kepelbagaian rakyat manakala Citra Seni akan mempamerkan kraf tangan tempatan dan demonstrasi seni secara langsung oleh penggiat industri kreatif tempatan. 

Tourism Malaysia memaklumkan acara kemuncak Citrawarna 2026, iaitu Citra Perarakan yang dijadualkan pada 25 Julai akan menghimpunkan penghibur dari seluruh negara dalam satu persembahan besar yang menonjolkan elemen perpaduan, kreativiti dan identiti kebangsaan.

“Persembahan ini bakal mengubah Dataran Merdeka menjadi pentas penuh warna-warni yang meraikan kekayaan warisan budaya Malaysia melalui muzik, tarian dan penceritaan yang mempesonakan,” menurut kenyataan itu.

Selain memperkukuh warisan budaya negara, Citrawarna 2026 juga dijangka memberi impak ekonomi yang positif melalui peningkatan kehadiran pelawat domestik dan antarabangsa, sekali gus membuka peluang yang lebih luas kepada pengusaha hotel, pengendali pelancongan serta peniaga tempatan.

Dianjurkan dengan kerjasama Yes Travel & Holidays Sdn Bhd serta sokongan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Warisan Kuala Lumpur, penganjuran Citrawarna 2026 mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan budaya bertaraf dunia.

Tourism Malaysia turut mengalu-alukan penyertaan hotel dan penginapan untuk menawarkan kadar bilik istimewa, pakej promosi serta tawaran menarik kepada pengunjung sepanjang acara berlangsung.

“Inisiatif ini bukan sahaja dapat memperkayakan pengalaman pelawat, malah berpotensi menggalakkan tempoh penginapan yang lebih lama serta meningkatkan limpahan ekonomi pelancongan di Kuala Lumpur,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2570529