KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil hari ini merakamkan ucapan tahniah kepada Tan Sri Nallini Pathmanathan atas pelantikan sebagai Pengerusi Majlis Media Malaysia (MMM).
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berharap pelantikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu akan terus memperjuangkan kebebasan media secara bertanggungjawab dan memperkukuh etika kewartawanan negara.
“Tahniah Tan Sri Nallini Pathmanathan atas pelantikan sebagai Pengerusi MMM.
“Semoga MMM terus perjuangkan kebebasan media secara bertanggungjawab, memperkukuh etika kewartawanan serta memainkan peranan penting dalam mengangkat suara industri media agar terus mampan lagi dipercayai. Selamat berkhidmat, Tan Sri,” katanya.
Nallini dilantik sebagai Pengerusi MMM, sekali gus menerajui badan kawal selia kendiri industri media negara yang ditubuhkan di bawah Akta Majlis Media Malaysia 2025.
Terdahulu, dalam kenyataan hari ini, MMM memaklumkan pelantikan Nallini dipersetujui sebulat suara oleh Ahli-Ahli Lembaga MMM dalam mesyuarat yang diadakan pada 26 Mei lepas.
Majlis itu menyifatkan pelantikan berkenaan sebagai satu pencapaian penting dalam memperkukuh peranannya sebagai badan kawal selia kendiri yang bebas, berwibawa dan berteraskan kepentingan awam bagi industri media.
-- BERNAMA