By Norhidayyu Zainal
KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Istana Budaya menyasarkan untuk kembali beroperasi seawal Julai ini, selepas melengkapkan keperluan pematuhan keselamatan yang ditetapkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) bagi penggunaan kemudahan pentas di Panggung Sari.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) yang menjalankan tugas Ketua Pengarah Istana Budaya Johan Cruyff @ Mohd Johari Md Nordin berkata pihaknya, kini sedang menyelesaikan beberapa keperluan teknikal yang masih diperlukan, sebelum premis berkenaan boleh dibuka semula kepada orang ramai.
Beliau berkata walaupun kerja-kerja naik taraf dan penyelenggaraan bumbung telah siap sepenuhnya pada Januari lepas, penggunaan kemudahan pentas masih tertakluk kepada perakuan keselamatan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514).
pic-2
“Mengikut perancangan awal, kita menyasarkan pembukaan semula menerusi Malam Gala Istana Budaya 2026: Estetika Magika pada 17 Mei, yang dijadual dihadiri oleh Perdana Menteri.
“Namun, hasil perbincangan bersama JKKP beberapa minggu sebelum tarikh tersebut mendapati, terdapat beberapa keperluan teknikal yang perlu diselesaikan terlebih dahulu melibatkan penggunaan pentas Panggung Sari,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Johan Cruyff berkata penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022, mewajibkan semua agensi kerajaan mematuhi peraturan keselamatan melibatkan peralatan mekanikal, jentera dan logi angkat.
“Ini merangkumi sistem yang digunakan untuk mengangkat, menurunkan atau menggerakkan platform pentas, set persembahan dan pelbagai peralatan teknikal lain semasa pementasan,” katanya.
pic-3
Beliau berkata pematuhan itu melibatkan dua komponen utama di Panggung Sari, iaitu sistem bawah pentas yang menggerakkan platform pentas serta sistem atas pentas, yang digunakan untuk menggantung lampu, tirai, set dan pelbagai peralatan teknikal persembahan.
Johan Cruff berkata Istana Budaya telah menerima surat maklum balas daripada JKKP lebih sebulan lepas yang memberikan kelulusan bersyarat bagi penggunaan sistem bawah pentas, iaitu tanpa sebarang pergerakan mekanikal dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Itu bermakna kita tidak boleh menggerakkan pentas turun naik seperti kebiasaan. Sebelum ini orang datang ke Istana Budaya sebab mahu melihat kecanggihan pentas yang boleh bergerak, tetapi buat masa ini sistem berkenaan tidak boleh digunakan, sehingga memperoleh kelulusan daripada JKKP,” katanya.
pic-4
Johan Cruyff berkata satu lagi isu yang masih dalam proses penyelesaian ialah sistem atas pentas yang digunakan untuk menggantung lampu pencahayaan, leg, border stage dan pelbagai peralatan teknikal lain.
Beliau berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah mengemukakan surat kedua kepada JKKP, bagi memohon kebenaran penggunaan minimum sistem atas pentas berkenaan demi menyediakan kemudahan asas pementasan.
Sehubungan itu, sementara menunggu proses kelulusan tersebut selesai, beliau berkata pihak pengurusan mengambil pendekatan proaktif, dengan meneliti pelbagai bentuk persembahan yang masih boleh dijalankan walaupun terdapat kekangan mekanikal pentas.
“Ini termasuk penganjuran konsert berskala sederhana, persembahan muzik, stand-up comedy, majlis korporat dan program komuniti, bagi memastikan penggiat industri dapat kembali mementaskan karya mereka.
pic-5
“Kami juga akan mengoptimumkan penggunaan ruang yang ada seperti Lambang Sari dan Laman Santai bagi memastikan ekosistem seni tanah air kekal aktif,” katanya.
Beliau berkata sambutan daripada penggiat seni masih menggalakkan, dengan sebanyak 17 program telah dikenal pasti untuk diadakan di Istana Budaya tahun ini.
Antara program berkenaan ialah Laman Santai Seni Budaya: 2 Dekad, Teater Muzikal Kanak-Kanak Pengembaraan Sang Kancil, NSO with Aubrey Suwito “Pop Meets Symphony” dan Lambang Sari Showcase with Your Star.
pic-6
Beliau berkata Istana Budaya juga akan terus memperkasakan program outreach seperti Kempen GERAK, yang memberi peluang kepada masyarakat dan pelajar institusi pengajian tinggi mendekati seni persembahan di luar premis berkenaan.
Meskipun berdepan pelbagai cabaran serta persaingan dengan lambakan venue komersial baharu, Johan Cruyff berkata pihaknya tetap komited memikul tanggungjawab negara dalam memartabatkan seni dan budaya pada peringkat tertinggi.
“Kita mahu memastikan Istana Budaya terus memainkan peranannya sebagai panggung negara yang selamat tanpa sebarang kompromi.
“Kita mahu mengembalikan semula kedudukan Istana Budaya sebagai institusi seni bertaraf dunia yang bukan sahaja menjadi pentas persembahan, tetapi turut menyumbang kepada pembangunan ekosistem seni, budaya dan pelancongan negara,” katanya.
-- BERNAMA