KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Teknologi kecerdasan buatan (AI) boleh dimanfaatkan untuk mempercepatkan penghasilan kandungan berita, namun tanggungjawab editorial perlu kekal di tangan manusia bagi memastikan integriti dan kredibiliti kewartawanan terus terpelihara.
Ketua Pegawai Eksekutif Vanakkam Malaysia Thiaga Rajan Muthusamy berkata AI tidak seharusnya diberikan kuasa membuat keputusan editorial walaupun teknologi itu mampu membantu dalam pelbagai aspek penghasilan kandungan atau meningkatkan kecekapan kerja.
Beliau berkata AI boleh digunakan untuk mempercepatkan proses penulisan, penterjemahan dan penyediaan kandungan pelbagai bahasa, namun keputusan akhir berkaitan penerbitan perlu dibuat oleh pengamal media.
"Untuk menghasilkan kandungan itu kita boleh gunakan AI kerana kita tahu ia boleh menghasilkan kandungan dengan lebih cepat dan lebih menarik, tetapi jangan beri tanggungjawab editorial kepada AI," katanya sambil menegaskan AI tidak boleh dilihat sebagai pengganti kepada peranan wartawan atau editor.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Jendela Fikir HAWANA terbitan Bernama Radio yang membincangkan topik HAWANA 2026: Cabaran Integriti dan Kredibiliti Media Era AI, hari ini.
Thiaga Rajan berkata penggunaan AI dalam industri media tidak boleh dielakkan memandangkan teknologi itu turut digunakan secara meluas dalam pelbagai sektor lain.
Beliau berkata pengamal media perlu menguasai teknologi berkenaan bagi membolehkan mereka menyampaikan maklumat berkaitan AI kepada masyarakat dengan lebih berkesan.
"Kalau pengamal media sendiri tidak tahu tentang AI, memang kita tidak akan dapat menyampaikan maklumat sebegitu kepada masyarakat," katanya.
Beliau berkata media yang enggan menerima penggunaan AI berisiko menjadi tidak relevan dalam landskap digital yang berkembang pesat.
Dalam pada itu, beliau menegaskan integriti kekal menjadi faktor utama yang membezakan kandungan kewartawanan dengan kandungan yang dijana secara automatik oleh teknologi.
"AI boleh menulis artikel, menghasilkan video dan mencipta suara, tetapi ia tidak boleh menggantikan integriti. Sebagai wartawan, kita tidak boleh berkompromi dengan integriti dan ia menjadi lebih penting dalam era AI ini," katanya.
Kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 yang akan berlangsung di Pulau Pinang esok bakal menghimpunkan pengamal media dari seluruh negara bagi meraikan mereka sebagai penyampai maklumat yang berintegriti.
-- BERNAMA