KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Pihak pendakwaan dalam kes bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man hari ini menutup kesnya selepas memanggil 21 saksi memberi keterangan di Mahkamah Sesyen di sini, terhadap 10 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan menerima wang hasil aktiviti haram dihadapinya.
Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat memaklumkan perkara itu kepada Hakim Azura Alwi selepas saksi terakhir, iaitu Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Belanjawan, Kementerian Pengajian Tinggi Mawar Awang selesai memberi keterangan.
Noralis turut memaklumkan pihak pendakwaan tidak menawarkan mana-mana saksi kepada pihak pembelaan sekiranya Azlan dipanggil membela diri.
Mahkamah menetapkan 30 Julai bagi pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan bertulis manakala hujahan balas perlu difailkan pada 7 Sept selain menetapkan 1 Okt untuk sesi klarifikasi.
Prosiding dihadiri peguam Burhanudeen Abdul Wahid dan Ramli Shariff yang mewakili Azlan.
Perbicaraan kes yang bermula 18 Julai 2024, antara lain menyaksikan keterangan bekas Pengarah Urusan Sri Kedawang Travel & Tour (W) Sdn Bhd (SKTT) Shafiei Ismail dan bekas Setiausaha Dewan Undangan Negeri serta Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis Norazlan Yahya.
Selain itu, turut memberi keterangan ialah bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada Azlan, Herwardy Hashim dan Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Safwan Arbangi.
Azlan, 67, berhadapan lima pertuduhan menggunakan beberapa dokumen mengandungi butiran palsu bagi membuat tuntutan kemudahan Cuti Seberang Laut ke London, United Kingdom berjumlah lebih RM1.18 juta sedangkan perjalanan itu tidak pernah dilakukan.
Dokumen palsu yang digunakan termasuk invois serta sebut harga tiket penerbangan dan hotel daripada SKTT serta Aidil Travel & Tours Sdn Bhd selain Pesanan Kerajaan Negeri Perlis bagi menuntut kos pengangkutan dan penginapan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Kompleks Dewan Undangan Negeri, Persiaran Wawasan, Kangar antara Disember 2013 hingga Disember 2017 dan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu atau silap itu atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong itu juga didakwa atas lima pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta daripada SKTT, Aidil Travel & Tours dan Abdul Rahim Halim yang mewakili syarikat Aidil Travel.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman, CIMB Bank cawangan Putrajaya dan Hotel Sheraton Imperial di sini antara 19 Feb 2014 dan Disember 2017, dengan pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Jika sabit kesalahan, seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, mana yang lebih tinggi.
Selain itu, Azlan berhadapan lima pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan berkaitan penyalahgunaan wang milik kerajaan Perlis berjumlah RM1.06 juta bagi tahun kewangan 2014 hingga 2017.
Beliau didakwa mengarahkan wang yang dibayar kepada SKTT itu dimasukkan ke dalam akaun Maybank dan CIMB miliknya menerusi empat keping cek serta secara tunai di lokasi dan tarikh yang sama.
Jika sabit kesalahan Azlan boleh dihukum penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dan dengan sebat serta dikenakan denda.
-- BERNAMA