PUTRAJAYA, 19 Jun (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan hari ini membatalkan notis rayuan difailkan pendakwaan terhadap pembebasan seorang lelaki daripada pertuduhan membunuh mangsa buli T. Nhaveen.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Nordin Hassan memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai memaklumkan bahawa notis rayuan tidak dapat diserahkan secara kendiri kepada S. Gopinaath, 35, yang tinggal di Pulau Pinang selepas responden tidak berjaya dikesan.
"Ini kali kelima pendakwaan cuba untuk menyerahkan notis rayuan. Saya mohon arahan lanjut daripada mahkamah," kata Allan.
Turut bersidang pada prosiding hari ini ialah Hakim Datuk Seri Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Azimah Omar.
Pihak pendakwaan merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 13 Jan 2025 yang membebaskan Gopinaath daripada pertuduhan membunuh Nhaveen, yang ketika itu berusia 18 tahun, di sebuah taman di Jalan Bunga Raya antara 11 malam hingga tengah malam pada 9 Jun 2017.
Gopinaath didakwa pada 2021, empat tahun selepas kejadian, semasa saksi pendakwaan ketujuh memberi keterangan pada perbicaraan kes pendakwaan.
Mahkamah Rayuan turut memerintahkan empat lelaki iaitu J. Ragesuthan dan S. Gokulan, masing-masing berusia 27 tahun dan dua lagi individu yang merupakan remaja ketika kejadian, untuk membela diri daripada pertuduhan membunuh selepas membenarkan rayuan pendakwaan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang melepaskan dan membebaskan mereka pada 3 Okt 2023.
Panel hakim mahkamah itu juga mengembalikan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang bagi membolehkan keempat-empat lelaki itu membela diri.
Keempat-empat lelaki itu turut diperintah membela diri atas dakwaan mencederakan rakan Nhaveen, T. Previin, berhampiran Pusat Pembelajaran Karpal Singh di Jalan Kaki Bukit, Gelugor antara 11 malam hingga tengah malam pada 9 Jun 2017.
Pengurusan kes itu ditetapkan pada 3 Julai depan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang bagi menetapkan tarikh perbicaraan.
Nhaveen cedera parah akibat dipukul sekumpulan remaja dalam kejadian di Jalan Kaki Bukit, Gelugor sehingga mati otak selain mengalami kecederaan di bahagian dubur. Mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang tetapi meninggal dunia enam hari kemudian iaitu pada 15 Jun 2017.
Rakannya, Preevin dilaporkan turut dipukul oleh kumpulan yang sama menggunakan topi keledar namun sempat melarikan diri bagi mendapatkan bantuan.
-- BERNAMA