JENAYAH & MAHKAMAH

Warga Emas Dipenjara 33 Tahun, 14 Sebatan Kerana Rogol Dan Amang Seksual Cucu

19/06/2026 03:30 PM

MUAR, 19 Jun (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan seorang lelaki warga emas dipenjara 33 tahun dan disebat 14 kali selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap dua cucu perempuannya, tahun lepas.

Pengakuan lelaki berusia 67 tahun itu direkodkan di hadapan Hakim Mohd Khairi Haron selepas semua pertuduhan dibacakan.

Mohd Khairi juga memerintahkan lelaki itu menjalani sesi kaunseling sepanjang dalam tahanan dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama tiga tahun selepas tamat hukuman, selari dengan Seksyen 26 dan Seksyen 27 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Bagi dua pertuduhan amang seksual, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu ke atas cucu tirinya yang semasa kejadian berusia 12 tahun di sebuah rumah di Parit Raja Tengah, Batu Pahat pada Januari dan Disember tahun lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14 (a)  yang dibaca bersama-sama Seksyen 16 akta sama, dengan Seksyen 14 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, manakala Seksyen 16 membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan tidak kurang dua kali, jika sabit kesalahan. 

Warga emas itu juga berhadapan dua pertuduhan merogol kanak-kanak itu pada masa dan di lokasi yang sama, dengan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376 (2) (d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Selain itu, lelaki itu juga didakwa atas satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap adik mangsa yang berusia sembilan tahun di lokasi sama pada tahun lepas, mengikut Seksyen 14 (a) yang dibaca bersama-sama Seksyen 16 akta sama. 

Terdahulu, warga emas itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ke atasnya diringankan atas faktor usia selain berasa kesal dan insaf atas perbuatan itu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nur Ameerah Allaudeen memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana kesalahan dilakukan serius dan melibatkan hubungan keluarga, selain lelaki itu seharusnya melindungi cucunya, bukan menjadikan mereka sebagai mangsa.

Sebelum ini, polis mengesahkan penahanan seorang warga emas selepas menerima laporan kejadian itu yang didakwa berlaku semasa mangsa tinggal dengan suspek di daerah ini selepas ibu bapanya bercerai. 

Ibu mangsa membawanya pulang ke sebuah negeri di utara tanah air pada April lepas dan mangsa yang kini berusia 13 tahun akhirnya menceritakan kejadian itu selepas didesak. 

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2570447