KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Syarikat-syarikat penerbangan perlu melaksanakan analisis sensitiviti bahan api peringkat laluan masing-masing untuk mengenal pasti laluan yang tidak menguntungkan di bawah beberapa senario harga bahan api yang berbeza.
Gesaan itu dibuat oleh Alton Aviation Consultancy, sebuah firma penasihat global dalam industri aeroangkasa.
Menerusi kertas putih industri terkininya bertajuk “Fuel Savings Initiatives: A Framework for Airlines in a Volatile Environment” (Inisiatif Penjimatan Bahan Api: Kerangka untuk Syarikat Penerbangan Dalam Persekitaran Tidak Menentu), Alton menyatakan analisis itu perlu mengambil kira andaian harga bahan api dengan pelbagai jangka masa sehingga normal, jangkaan pemulihan kos bahan api menerusi peningkatan tambang, keanjalan permintaan, nilai trafik sambungan dan kerelevanan yang strategik.
“Laluan yang kelihatan menguntungkan di bawah andaian bahan api normal, berkemungkinan menjadi kecil apabila bahan api meningkat.
“Bagaimanapun beberapa laluan mungkin wajar dikekalkan kerana menyokong kesalinghubungan hab, trafik yang premium atau kedudukan pasaran jangka panjang apabila pendedahan kos bahan api berbanding pesaing utama.
“Analisis ini dapat membantu dari segi makluman pelarasan kapasiti yang diperlukan dalam jangka terdekat dan sederhana selain menyokong penilaian kumpulan pesawat lebih besar dalam senario kenaikan bahan api untuk jangka masa lebih lama,” menurutnya.
Pada masa sama, Alton menyatakan model penugasan pesawat dan peruntukan pesawat juga perlu dinilai semula dari sudut pandang kecekapan bahan api.
Syarikat penerbangan dengan kumpulan pesawat yang bercampur perlu menilai sama ada pesawat paling cekap tenaga digunakan bagi laluan yang benar-benar memberi manfaat ekonomi dengan ketara.
“Ini memerlukan analisis mengikut laluan dengan mengambil kira profil permintaan, keperluan beban atau muatan, kekangan prestasi lapangan terbang dan dinamik yang berdaya saing untuk menilai senario penugasan pesawat yang optimum.
“Sebagai contoh, pesawat generasi kedua berkemungkinan memberi nilai bagi sektor penerbangan lebih jauh dengan penjimatan penggunaan bahan api yang lebih ketara lagi,” menurutnya.
Menurut Alton, sebaliknya tindakan penugasan pesawat lebih besar atau lebih cekap bagi laluan yang tidak mendapat banyak permintaan mungkin mengurangkan bahan api bagi setiap tempat duduk, namun menjejaskan pulangan dan penjanaan hasil.
“Sehubungan itu, jawapan yang tepat adalah jangan bertindak membuat penugasan pesawat paling cekap, tetapi mengoptimumkan keuntungan laluan secara menyeluruh.”
Firma itu mengingatkan, apabila harga bahan api meningkat, syarikat penerbangan lebih cenderung mendapatkan semula kos menerusi tambang lebih tinggi atau meningkatkan surcaj bahan api.
“Apabila permintaan menjadi anjal, ini boleh mengurangkan trafik dan melemahkan beban muatan. Oleh itu, syarikat penerbangan meneliti semula sama ada kekerapan itu kekal wajar, terutama bagi laluan dengan beberapa khidmat harian, keuntungan yang kecil atau kerelevanan strategik yang lebih lemah.
“Konsolidasi atau penyatuan kekerapan itu akan membolehkan syarikat penerbangan terus mengekalkan kedudukan pasaran dan pada masa sama mengurangkan jumlah pendedahan bahan api. Bagi keadaan tertentu, langkah penggunaan pesawat lebih besar dan mengurangkan kekerapan dapat meningkatkan lagi penggunaan pesawat dan meminimumkan kos bahan api pada asas setiap tempat duduk.”
Menurut Alton, bagi keadaan lain, penggunaan pesawat lebih kecil berkemungkinan wajar jika permintaan lebih rendah namun liputan penerbangan secara strategiknya masih kekal penting.
-- BERNAMA