PUTRAJAYA, 19 Jun (Bernama) -- Satu persidangan yang menghimpunkan lebih 10 persatuan dan badan bukan kerajaan berkaitan bidang veterinar, pengeluaran ternakan dan industri ternakan bakal dianjurkan buat julung kalinya pada Julai ini sebagai usaha memperkukuh keterjaminan industri makanan negara.
Sidang Kemuncak Global Veterinar dan Industri (GAVIS) 2026 yang berlangsung dari 21 hingga 23 Julai di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya itu diadakan dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaysia Kelantan dan Universiti Malaysia Terengganu.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Mohd Noor Hisham Mohd Haron merangkap Pengerusi Penganjur GAVIS 2026 berkata penggabungan kesemua pertubuhan berkaitan di bawah satu bumbung diyakini dapat memperkukuh keterjaminan industri makanan negara dan bidang ternakan.
“Kami sasar 1,200 peserta persidangan termasuk 108 pembentang, termasuk 51 pembentang antarabangsa antaranya dari Singapura, Australia, China, India, United Kingdom dan Oman serta lebih 5,000 pengunjung.
“Kita kini berdepan dengan pelbagai cabaran global yang semakin kompleks seperti perubahan iklim dan krisis tenaga global. Jadi, kita perlu bersuara di bawah satu platform, menggabungkan tenaga masing-masing demi memastikan kelestarian industri ini dapat terus dicapai,” katanya pada sidang media berkaitan penganjuran GAVIS 2026 di sini hari ini.
Mohd Noor Hisham berkata pelbagai persidangan dan sesi teknikal akan diadakan merangkumi bidang ruminan, penyakit haiwan dan diagnostik, makanan ternakan, kebajikan haiwan, akuakultur dan perikanan.
Beliau berkata penglibatan peserta luar negara termasuk golongan profesional seperti saintis membuka ruang bagi saintis tempatan menggabungkan kepakaran dalam bidang berkaitan, sekali gus dapat memacu pembangunan industri haiwan negara.
GAVIS 2026 juga akan menampilkan lebih 100 reruai pameran, pelbagai produk dan perkhidmatan dipamerkan termasuk peralatan veterinar, makanan haiwan, farmaseutikal veterinar dan inovasi industri.
Bertemakan One Voice, One Health, One Future, GAVIS 2026 juga dijangka menyaksikan pemeteraian beberapa memorandum persefahaman sepanjang tiga hari penganjuran.
Antara pertubuhan terlibat ialah Persatuan Perubatan Veterinar Malaysia, Persatuan Produksi Haiwan Malaysia dan Persatuan Patologi Veterinar Malaysia.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari http://gavis2026.com.
-- BERNAMA