BATU KAWAN, 20 Jun (Bernama) -- Pulau Pinang meraih pelaburan diluluskan dalam sektor pembuatan berjumlah RM4.9 bilion bagi suku pertama 2026, sekali gus berada pada tangga kedua di seluruh Malaysia, yang mengukuhkan kedudukannya sebagai antara destinasi industri serta pelaburan utama di negara ini.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata sebanyak RM3.4 bilion atau 70 peratus daripada jumlah pelaburan diluluskan itu terdiri daripada pelaburan langsung asing (FDI), yang mencerminkan keyakinan berterusan pelabur antarabangsa terhadap kekuatan industri Pulau Pinang.
Menurutnya sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta jentera dan peralatan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan, menyumbang RM3.6 bilion atau 74 peratus daripada jumlah pelaburan diluluskan dalam sektor pembuatan.
"Dari segi perdagangan, Pulau Pinang terus menjadi penjana eksport utama Malaysia.
“Menurut data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Pulau Pinang kekal sebagai negeri pengeksport utama negara pada 2025, dengan menyumbang 38.1 peratus daripada jumlah eksport Malaysia, bersamaan kira-kira RM610 bilion nilai eksport," katanya ketika berucap pada majlis perasmian MKS Instruments Malaysia di sini hari ini.
Majlis itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MKS John T.C Lee.
Chow berkata prestasi eksport negeri itu sebahagian besarnya didorong oleh litar bersepadu elektronik dan produk E&E lain, yang melambangkan kekuatan dan kemajuan ekosistem semikonduktor Pulau Pinang.
Menurutnya Pulau Pinang turut mencatatkan Indeks Keterbukaan Perdagangan tertinggi di negara ini pada 575.1 sekali gus mencerminkan integrasi mendalam negeri itu dengan pasaran global serta mengukuhkan peranannya sebagai tonggak utama prestasi perindustrian, perdagangan dan eksport Malaysia.
“Kerajaan Pulau Pinang melalui InvestPenang terus proaktif bukan sahaja untuk menarik pelabur, malah memperkukuh ekosistem melalui nilai tambah unik yang seiring dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).
“Tumpuan strategik itu diberikan terhadap reka bentuk litar bersepadu, pembungkusan termaju dan pembuatan peralatan,” katanya.
Penubuhan Kilang MKS yang merangkumi keluasan kira-kira 350,000 kaki persegi di kawasan seluas 6.88 hektar, bertujuan memenuhi permintaan global yang semakin meningkat terhadap peralatan pembuatan semikonduktor.
Chow berkata melalui pelaburan melebihi RM400 juta dan kewujudan lebih 1,000 pekerjaan bernilai tinggi selepas semua fasa projek siap sepenuhnya, kemudahan itu adalah antara pencapaian penting dalam evolusi berterusan Pulau Pinang sebagai hab global pembuatan termaju dan inovasi semikonduktor.
“Ini juga mencerminkan saranan nilai negeri itu yang kukuh, disokong oleh tenaga kerja berkemahiran tinggi, ekosistem industri yang matang serta infrastruktur yang menyokong industri berteknologi tinggi,” katanya.
Diasaskan pada 1961 dan disenaraikan di NASDAQ, MKS adalah peneraju teknologi global yang menawarkan penyelesaian kritikal yang membolehkan inovasi dalam industri semikonduktor dan pembuatan termaju.
Pada masa ini, teknologi MKS menyokong lebih 85 peratus daripada aplikasi peralatan fabrikasi wafer dunia serta lebih 70 peratus langkah utama dalam pembuatan substrat pakej dan papan litar bercetak.
-- BERNAMA