AM

Pantun HAWANA-DBP 2026: TV3 Pertahan Gelaran Juara

20/06/2026 05:18 PM

BUTTERWORTH, 20 Jun (Bernama) – Pasukan pemantun TV3 diumumkan sebagai juara manakala Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) muncul naib juara Pesta Pantun HAWANA-Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2026 yang berlangsung sempena Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026.

Kejayaan itu menyaksikan TV3 mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada edisi sulung pertandingan tahun lepas, menerusi pasukan yang diwakili Mohammad Nor Affiq Norshamsudin, Mohd Safwan Sawi, Azrin Md Isa dan Mohamed Hirsham Azmi.

Lebih manis, hadiah kemenangan disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan disaksikan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai pada Majlis Kemuncak HAWANA 2026 di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth, hari ini.

Dengan kemenangan itu, TV3 membawa pulang wang tunai RM3,000, piala dan sijil penyertaan manakala Bernama menerima wang tunai RM2,000, piala dan sijil.

Pertandingan turut menyaksikan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menduduki tempat ketiga diikuti Berita Harian di tempat keempat daripada keseluruhan lapan pasukan bertanding, yang diumumkan sebelum ini.

Wakil Bernama Muhammad Syukri Khairulannuar dinobatkan sebagai Pemantun Terbaik, manakala pasukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memenangi Anugerah Busana Terbaik.

Sebanyak 32 peserta menyertai pertandingan yang berlangsung di Panggung Sari, Kompleks Kraf Kuala Lumpur pada 9 Mei yang menjadi antara program pembuka tirai sambutan HAWANA 2026.

Sementara itu, Ketua Pemantun TV3 Mohammad Nor Affiq melahirkan rasa syukur atas kejayaan pasukannya mempertahankan kejuaraan Pesta Pantun HAWANA-DBP buat kali kedua.

Mengakui pada awalnya berasa berat untuk memikul tanggungjawab sebagai ketua pasukan, namun dorongan mentor yang juga pengacara TV3 Ahmad Fedtri Yahya, mendorong beliau menyahut cabaran itu.

“Alhamdulillah, usaha seluruh pasukan akhirnya membuahkan hasil. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada rakan sepasukan, keluarga serta semua penyokong yang sentiasa memberikan dorongan sehingga kami berjaya mempertahankan gelaran juara,” katanya.

Ketua Pemantun Bernama Muhammad Syukri pula berkata mereka akan menjadikan pencapaian naib juara tahun ini sebagai pembakar semangat untuk memburu kejuaraan pada edisi akan datang.

“Pasukan Bernama akan meneliti setiap kelemahan dan memperkukuh persiapan bagi memastikan sasaran juara dapat direalisasikan. Insya-Allah, kami akan berusaha lebih gigih dan memperbaik segala kekurangan tahun ini pada edisi akan datang,” katanya.

HAWANA 2026 yang bertemakan “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti” dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Bernama selaku agensi pelaksana. 

Majlis Kemuncak HAWANA ialah perhimpunan terbesar pengamal media di Malaysia bertujuan mengiktiraf sumbangan serta profesionalisme wartawan dalam pembangunan negara.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2570896