JENAYAH & MAHKAMAH

Ribuan Pengunjung Meriahkan Sambutan Hari Terbuka TUDM Di Kuantan

20/06/2026 07:12 PM

KUANTAN, 20 Jun (Bernama) -- Cuaca panas tidak menghalang ribuan pengunjung membanjiri Pangkalan Udara Kuantan sempena Hari Terbuka Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) 2026. 

Program dua hari bermula hari ini sempena Sambutan Hari Ulang Tahun TUDM Ke-68 itu menarik kehadiran pelbagai lapisan masyarakat yang tidak melepaskan peluang menyaksikan aksi udara serta pameran aset ketenteraan secara lebih dekat.

Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris berkata penganjuran kali ini dilaksanakan secara sederhana bagi mengikut langkah penjimatan disarankan kerajaan, namun orang ramai tetap berpeluang menyaksikan pelbagai aset utama dan berinteraksi dengan warga TUDM.

Beliau berkata program itu antara lain bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara TUDM dan masyarakat serta memberi peluang kepada orang ramai untuk mengetahui keupayaan operasi dan kecanggihan aset pasukan pertahanan udara negara. 

“Apabila program sebegini diadakan masyarakat dapat berinteraksi terus dengan warga TUDM dan bertanya apa yang mereka ingin tahu.  

“Selagi ia tidak menyentuh kerahsiaan negara, anggota atau pegawai boleh berkongsi misalnya berkaitan peranan, tugas dan perolehan akan datang untuk rakyat tahu hala tuju TUDM,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program itu. 

Pengunjung hari terbuka itu berpeluang menyaksikan demonstrasi penerbangan melibatkan beberapa aset utama seperti Sukhoi Su-30MKM, F/A-18D Hornet, A400M, C-130H, helikopter EC725AP/H225M dan AW139 serta latihan Helicopter Insection & Extraction (HIE) serta penerjunan Pasukan Khas Udara (PASKAU). 

Antara aset yang dipamerkan ialah pesawat Sukhoi Su-30MKM, F/A-18D Hornet, Hawk, A400M , C-130H, CN235 selain aset sokongan seperti "Ground Based Air Defence (GBAD)", "Prime Mover" serta jentera bomba TUDM. 

Selain itu, Muhamad Norazlan berkata sambutan tahun ini lebih istimewa apabila orang ramai berpeluang merasai pengalaman berada di landasan Pangkalan Udara Kuantan menerusi program RMAF Runway Run 2026 yang berlangsung esok. 

“Ini peluang yang sukar dirasai kerana mereka tidak boleh berbuat demikian sebelum ini. Kami telah menerima kira-kira 3,000 pendaftaran, namun mereka yang ingin datang memeriahkan lagi acara berkenaan juga boleh hadir,” katanya.

Sementara itu, pengalaman mendengar deruman enjin pesawat dan melihat aksi penerbangan secara langsung memberikan pengalaman baharu kepada pengunjung dari Arau, Perlis Mohd Al Muaimin Khairul Amir, 24, yang pertama kali hadir ke program tersebut. 

Mohd Al Muaimin berkata kunjungannya lebih bermakna kerana dapat meluangkan masa dengan keluarga termasuk membawa ibunya Rosnani Itam, 67, yang berkerusi roda bagi menyaksikan pertunjukan udara itu dari dekat.

“Pengalaman ini sangat menarik kerana dapat melihat sendiri pesawat TUDM di depan mata kerana bukan selalu peluang seperti ini diberikan kepada orang awam,” katanya. 

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti menarik dianjurkan termasuk pameran kerjaya, persembahan Pancaragam Pusat TUDM, drumline, persembahan Badan Kesenian Tentera Udara, pameran persenjataan dan simulator pesawat. 

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2570922