AM

Pemberian Kewangan Kerajaan Persekutuan Kepada Negeri Berlandaskan Perlembagaan - Ahli Parlimen

21/06/2026 03:45 PM

JOHOR BAHRU, 21 Jun (Bernama) -- Kerajaan MADANI berpandukan kepada undang-undang bertulis dan Perlembagaan Persekutuan dalam urusan pemberian kewangan kepada negeri-negeri termasuk Johor, kata Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim.

Beliau dalam satu kenyataan berkata Perkara 109 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa pada setiap tahun kewangan, Kerajaan Persekutuan hendaklah memberi kepada setiap negeri suatu pemberian yang dikenali sebagai pemberian ikut kepala berdasarkan peruntukan Bahagian I Jadual Kesepuluh.

Hassan yang juga seorang peguam berkata di bawah Perkara 110(1) pula, setiap negeri hendaklah menerima segala hasil daripada cukai, fi dan sumber hasil lain seperti dinyatakan dalam Bahagian III Jadual Kesepuluh.

“Sekiranya mana-mana pihak kerajaan negeri tidak berpuas hati, maka Perlembagaan Persekutuan menyediakan peruntukan undang-undang di mana masalah tersebut dirujuk kepada Majlis Kewangan Negara yang menjadi kewajipan Kerajaan Persekutuan di bawah Perkara 108(4) untuk berunding dengan Majlis Kewangan Negara berkenaan pemberian yang dibuat oleh Persekutuan kepada negeri-negeri,” katanya.

Justeru, beliau berkata berdasarkan peruntukan undang-undang bertulis sedia ada, mana-mana Kerajaan Negeri Johor yang dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai ini boleh membawa isu pemberian Kerajaan Persekutuan kepada Majlis Kewangan Negara.

Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dalam sesi bersama rakyat Johor semalam bertitah agar Kerajaan Persekutuan mengembalikan sebahagian hasil yang dikutip daripada Johor secara lebih munasabah bagi membolehkan pembangunan negeri dan kebajikan rakyat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Baginda bertitah Johor menyumbang lebih RM40 bilion setahun kepada Kerajaan Persekutuan, namun hanya sekitar RM2 bilion hingga RM3 bilion dipulangkan semula kepada negeri itu untuk memenuhi keperluan hampir lima juta penduduk.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2571150