AM

Gandingan Bernama Juara Pickleball SPxSAM Goal & Smash World Cup Fiesta 2026

21/06/2026 06:09 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Gandingan wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif dan Ahmad Syabil Sultan Noordin Ahmad muncul juara beregu lelaki pickleball pada kejohanan SPxSAM Goal & Smash World Cup Fiesta 2026, di sini.

Membawa nama ‘Mexico’, pasangan Bernama yang julung kali digandingkan itu melakar kemenangan dramatik 15-14 ke atas wakil TV3 yang mewakili ‘Argentina’ pada aksi final.

“Satu permainan yang baik, gandingan yang hebat dan sedikit rezeki menyebelahi kami. Syukur atas kemenangan ini. Terima kasih kepada SAM dan SP Sports Parks atas penganjuran yang meriah. Lebih manis apabila dapat bertemu dan mengeratkan silaturahim bersama rakan-rakan SAM,” kata Ahmad Nazrin.

Kejohanan hasil kolaborasi Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) dan SP Sports Parks itu semalam, mengumpulkan lapan agensi media termasuk Bernama, Media Prima, RTM, Utusan dan Kosmo, selain empat rakan strategik SAM.

Selain pickleball, kejohanan itu turut mempertandingkan acara futsal dalam suasana santai sempena kemeriahan Piala Dunia.


-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2571196