SEPANG, 22 Jun (Bernama) -- AirAsia X Bhd terbuka untuk meneroka perkhidmatan penerbangan ke Turkmenistan dan Rusia sekiranya peluang pasaran dan keperluan operasi terbukti berdaya maju, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Bo Lingam.
Beliau berkata AirAsia X sedang memantau rapat peluang yang muncul daripada inisiatif baharu kerajaan ke kerajaan (G2G) dan perjanjian dua hala yang boleh menyokong pembangunan untuk laluan penerbangan pada masa depan.
“Kami sangat terbuka. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melawat Rusia dan bercakap tentang perjanjian dua hala untuk mengadakan penerbangan ke sana dan sebagainya. Kami pasti akan ke sana sekiranya ada peluang dan kami mempunyai pesawat yang sesuai untuk ke destinasi itu.
“Kami berharap kita (Malaysia) mendapat lebih banyak (kemudahan) tanpa visa, yang akan memudahkan perjalanan untuk semua orang,” katanya semasa Sesi Taklimat Tinjauan Penerbangan AirAsia hari ini.
Mengenai sama ada Turkmenistan dan Rusia boleh dianggap sebagai destinasi masa depan, Bo berkata syarikat penerbangan itu akan menilai permintaan pasaran dan kebolehlaksanaan operasi sebelum membuat sebarang keputusan.
“Saya tidak tahu bila (ke Turkmenistan dan Rusia), tetapi kami sangat terbuka,” katanya.
Malaysia dan Turkmenistan baru-baru ini memperkukuh kerjasama dalam sektor tenaga, perdagangan dan pelaburan semasa lawatan rasmi Anwar ke Asia Tengah, dengan penambahbaikan untuk ketersambungan udara dilihat sebagai salah satu potensi bagi merancakkan lagi pertukaran antara rakyat dan hubungan perniagaan.
-- BERNAMA