SHAH ALAM, 22 Jun (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor sedang mengkaji cadangan mengklasifikasikan semula taman permainan kanak-kanak dalam bangunan sebagai 'edu-intertainment' bagi membolehkan kadar duti hiburan terhadap premis berkenaan dikurangkan.
Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Ng Suee Lim berkata kajian itu dibuat susulan keluhan pengusaha premis terbabit yang perlu membayar duti hiburan sehingga RM6,390 setahun walaupun aktiviti yang ditawarkan mempunyai elemen pendidikan.
“Saya ambil maklum perkara demikian. Jadi kerajaan negeri sedang buat kajian. Sebenarnya banyak perjumpaan sudah dibuat. Oleh kerana ia dibawah Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1995, ia perlu dikaji secara menyeluruh.
“Kita juga kaji keperluan (wujudkan kategori duti baharu) iaitu ‘edu-entertainment’. Ini boleh kita elak daripada kekangan enakmen itu supaya kita boleh kurangkan kadar tersebut. Kita cuba bantu,” katanya pada sidang media di Lobi Wisma Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.
Bagi tujuan itu, Ng berkata, Selangor akan melakukan sesi libat urus bersama Pulau Pinang berikutan kerajaan negeri itu berjaya memasukkan klasifikasi ‘edu-entertainment’ tanpa perlu membuat pindaan enakmen. -- LAGI
“Sekiranya perlu melaksanakan pindaan enakmen, ia akan memakan masa dan melibatkan proses pindaan di pelbagai peringkat,” katanya.
Sebelum ini, Persatuan Taman Tema dan Tarikan Keluarga Malaysia (MATFA) menggesa Kerajaan Negeri Selangor mengkaji semula cadangan untuk mengklasifikasikan taman permainan kanak-kanak di bawah kategori lesen hiburan kerana langkah itu akan menyebabkan peningkatan mendadak yuran pelesenan tahunan.
Presiden MATFA Tan Sri Richard Koh berkata pengelasan semula yang dicadangkan itu akan menyebabkan yuran tahunan meningkat hampir 13 kali ganda, sekali gus menambah tekanan kewangan kepada pengendali kemudahan permainan kanak-kanak yang menyediakan ruang rekreasi mampu milik untuk keluarga, khususnya daripada kumpulan B40 dan M40.
-- BERNAMA