JOHOR BAHRU, 22 Jun (Bernama) -- Sebanyak 3,788 juta kilogram (kg) barangan kitar semula berjaya dikumpulkan menerusi KITARecycle melibatkan hampir 80,000 pengguna berdaftar di Johor, sejak 2020 hingga Mei lepas.
Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata barangan berasaskan kertas merekodkan kutipan kitar semula terberat, iaitu sebanyak 2.359 juta kg bagi program kitar semula berganjaran itu.
“Plastik merekodkan kutipan 397,634 kg dan besi pula mencatat 385,161 kg, manakala kutipan bagi botol kaca makanan serta minuman yang diperkenalkan sejak 2020 telah mengumpulkan 339,960 kg,” katanya pada majlis perasmian Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC) Pasir Gudang di Taman Bandar Bukit Layang-Layang, di sini hari ini.
Beliau berkata kejayaan ini dicapai melalui inisiatif kitar semula berterusan oleh 3R Troopers bersama-sama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan rakan korporat seperti Program Kaunter Bergerak serta Program Kaunter Pandu Lalu selain program pendidikan kelestarian Iskandar Malaysia Ecolife Challenge (IMELC).
Beliau berkata SWM Environment dengan kerjasama PBT dan rakan korporat telah mewujudkan 39 kemudahan KITARecycle di negeri ini.
Mengenai program itu, beliau berkata DTRC Pasir Gudang merangkumi dua kontena terpakai dengan enam slot kategori barangan kitar semula seperti kertas, tetrapak, botol plastik, dan botol kaca serta dilengkapi dengan sistem kamera litar tertutup.
"Setiap pengguna KITARecycle perlu mengasingkan barangan mengikut kategori dan melabelkan setiap bungkusan barangan kitar semula mereka dengan nombor akaun KITARecycle masing-masing sebelum dimasukkan ke dalam slot yang disediakan," katanya.
-- BERNAMA