PASARAN

Ringgit Ditutup Rendah Berbanding Dolar AS Susulan Ketegangan Di Asia Barat Meningkat

22/06/2026 07:53 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS pada Isnin berikutan ketidaktentuan yang semakin meningkat dalam konflik di Asia Barat serta jangkaan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS), yang mendorong permintaan terhadap mata wang dolar AS.

Pada 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.1465/1500 berbanding dolar AS daripada 4.1340/1395 semasa ditutup Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata rundingan yang masih tidak menentu untuk mencapai perjanjian damai antara AS dan Iran telah mendorong pasaran menjangka Fed menaikkan kadar faedah bagi membendung kenaikan tekanan inflasi.

"Pasaran mata wang terus terkesan dengan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) minggu lepas.

“Kekurangan petunjuk mengenai hala tuju dasar pada masa akan datang dalam kenyataan FOMC, mendorong pasaran membuat andaian mengenai langkah Fed yang seterusnya iaitu menaikkan kadar dana Fed sebanyak 25 mata asas pada tahun ini,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata hasil bon Perbendaharaan AS yang kekal tinggi terus memberikan tekanan kepada mata wang Asia termasuk ringgit.

“Selain itu, penurunan harga tenaga adalah satu lagi faktor negatif bagi Malaysia selaku satu-satunya pengeksport tenaga bersih yang utama di rantau ini,” katanya.

Pada penutup dagangan, ringgit kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan susut berbanding pound Britain kepada 5.4850/4896 daripada 5.4709/4782 semasa ditutup Jumaat lepas, rendah berbanding euro kepada 4.7506/7547 daripada 4.7376/7439 minggu lepas dan hampir tidak berubah berbanding yen Jepun kepada 2.5635/5658 daripada 2.5636/5671.

Ringgit juga kebanyakannya lebih rendah berbanding mata wang serantau.

Mata wang tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2069/2098 daripada 3.2019/2064 pada Jumaat dan rendah berbanding baht Thailand kepada 12.5919/6075 daripada 12.5856/6074.

Ringgit hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 232.3/232.6 daripada 232.2/232.5 Jumaat lepas tetapi meningkat berbanding peso Filipina kepada 6.78/6.79 daripada 6.80/6.81.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2571634