PASARAN

Ringgit Ditutup Tinggi Berbanding Dolar AS, Mata Wang Negara ASEAN Menjelang Data PMI AS

23/06/2026 07:27 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang negara ASEAN serta naik berbanding kebanyakan mata wang utama lain hari ini, apabila pelabur menunggu data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) AS bagi Jun yang akan dikeluarkan malam ini.

Pada 6 petang, mata wang tempatan mengukuh kepada 4.1380/1430 berbanding dolar AS daripada 4.1465/1500 ketika ditutup pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pelabur akan memantau rapat data PMI AS bagi Jun, dengan pasaran menjangkakan prestasinya adalah lebih baik berbanding bacaan pada Mei.

“Selain itu, pelabur masih menumpukan kepada pendirian Rizab Persekutuan AS (Fed) yang cenderung kepada kadar faedah tinggi serta kemungkinan kenaikan kadar faedah selanjutnya,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata mata wang tempatan kekal berdaya tahan dan mencatatkan pengukuhan sederhana walaupun sentimen penghindaran risiko terus mempengaruhi pasaran global berikutan kebimbangan berkaitan dengan perdagangan dipacu kecerdasan buatan (AI).

“Pasaran kini berada pada fasa tunggu dan lihat apabila kalangan pelabur menilai sama ada laporan inflasi Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) AS minggu ini akan mengesahkan hala tuju dasar Fed atau akan menunjukkan sebahagian besar pengukuhan dolar AS sebenarnya telahpun diambil kira,” katanya.

Pada akhir dagangan, ringgit mencatatkan peningkatan berbanding kebanyakan mata wang utama.

Unit domestik meningkat berbanding pound British kepada 5.4750/4816 daripada 5.4850/4896 ketika ditutup semalam, dan naik berbanding euro kepada 4.7223/7280 daripada 4.7506/7547.

Ringgit hampir tidak berubah berbanding yen Jepun kepada 2.5638/5669 daripada 2.5635/5658 sebelumnya.

Unit tempatan juga lebih kukuh berbanding mata wang negara serantau ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1959/2000 daripada 3.2069/2098 ketika ditutup pada Isnin, dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.4845/5053 daripada 12.5919/6075.

Mata wang domestik juga mencatat kenaikan berbanding rupiah Indonesia kepada 231.6/232.0 daripada 232.3/232.6 semalam, serta lebih stabil berbanding peso Filipina kepada 6.74/6.75 daripada 6.78/6.79.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2572102