DUNIA

Kemarau, Penggurunan Ancam Negara BRICS Ketika Usaha Menangani Krisis Diperhebat

22/06/2026 10:07 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Perluasan pesat kemarau dan penggurunan merupakan antara ancaman alam sekitar paling serius yang boleh menjejaskan negara-negara BRICS secara langsung, memandangkan anggota kumpulan itu mempunyai populasi yang besar serta kawasan pertanian yang luas, lapor TV BRICS.

Pakar pembangunan mampan, kerjasama alam sekitar antarabangsa, pengurusan sumber air dan ekosistem hutan, Gabriela de Fatima Cia berkata penggurunan kini bukan sahaja menjadi isu alam sekitar, malah turut menjadi isu ekonomi.

“Menurut data terkini Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Memerangi Penggurunan (UNCCD), lebih tiga perempat (77.6 peratus) daripada permukaan tanah dunia mengalami keadaan yang lebih kering dalam tempoh tiga dekad menjelang 2020 berbanding tempoh 30 tahun sebelumnya,” katanya.

Cia, yang juga anggota Suruhanjaya Pelajar BRICS dan penyelaras Sekretariat Belia Pusat Integrasi dan Kerjasama Rusia-Amerika Latin (CICRAL), berkata negara-negara BRICS mewakili kepentingan lebih separuh penduduk dunia serta memiliki rizab air tawar, sumber hutan dan tanah pertanian yang besar.

Beliau berkata kemarau berlaku di hampir semua negara BRICS, termasuk China, India, Afrika Selatan, Brazil, Rusia, Iran dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

China, yang melaksanakan program antipenggurunan selama lebih separuh abad, masih mempunyai kira-kira 27 peratus wilayahnya yang diklasifikasikan sebagai gurun atau tanah gersang meskipun mencapai kemajuan dalam usaha penghutanan.

India dan Afrika Selatan turut berdepan tekanan yang semakin meningkat terhadap sumber air, tanah dan pertanian, dengan risiko penggurunan, cuaca panas ekstrem serta kekurangan air yang mengancam keselamatan makanan.

Di Brazil, trend kemarau yang semakin meningkat, khususnya di wilayah timur laut dan separa gersang, telah menjejaskan produktiviti serta keselamatan makanan, manakala kekurangan air dan kebakaran hutan menjadi ancaman berterusan di kawasan seperti Amazon dan Pantanal.

Di Rusia, isu yang dihadapi kurang berkaitan dengan penggurunan, sebaliknya lebih melibatkan gabungan kekurangan air, kebolehubahan iklim dan pemerosotan tanah di kawasan yang terdedah, dengan beberapa wilayah selatan negara itu berdepan risiko kemarau yang semakin meningkat walaupun mempunyai kawasan lembap yang luas.

Beliau berkata negara seperti Iran dan UAE terletak di kawasan yang secara semula jadinya sangat gersang serta berdepan kekurangan air yang ekstrem.

Sementara itu, pakar undang-undang alam sekitar dan hal ehwal alam sekitar awam, Aleksandra Kudzagova berkata projek kejuruteraan hidraulik merupakan instrumen utama untuk menangani kemarau kerana ia membolehkan penyimpanan dan pengagihan sumber air di samping mengurangkan kesan turun naik bermusim serta anomali iklim.

Beliau berkata di Mesir, kemudahan rawatan air sisa pertanian terbesar di dunia, Loji Al-Hammam, dibina sebagai sebahagian daripada projek mega New Delta bagi menghasilkan 7.5 juta meter padu air bersih setiap hari dan mengubah sebahagian kawasan Sahara menjadi tanah pertanian.

Negara-negara BRICS turut memperkukuh kerjasama alam sekitar menerusi inisiatif seperti Kumpulan Kerja Alam Sekitar BRICS (EWG) serta sokongan kewangan daripada Bank Pembangunan Baharu (NDB), yang telah meluluskan lebih 120 projek bernilai kira-kira US$40 bilion dengan tumpuan kepada pembangunan infrastruktur dan pembangunan mampan.

Sementara itu, inisiatif Silk Road Caravan yang dilancarkan oleh UNCCD pada 2026 telah menarik perhatian terhadap degradasi tanah dan kepentingan memulihkan ekosistem kawasan ragut.

Inisiatif itu akan merentasi beberapa negara Eurasia sebelum berakhir pada sesi ke-17 Persidangan Pihak-Pihak kepada UNCCD (COP17) di Ulaanbaatar, Mongolia, pada Ogos.

Pakar turut menekankan bahawa Perkongsian BRICS bagi Pemulihan Tanah yang dilancarkan pada 2025 merupakan langkah penting dalam menyokong pemulihan ekosistem yang terdegradasi, termasuk bakau, tebing sungai dan tanah lembap.

Pakar bersetuju bahawa tindakan yang diselaraskan, pembiayaan tambahan, penggunaan pendekatan saintifik serta pembangunan pertanian pintar semakin penting memandangkan ramalan mengenai perluasan berterusan zon gersang kekal tidak menggalakkan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2571714