AM

MADANI Mart Jenama Peruncitan Swasta, Bukan Inisiatif Rasmi Kerajaan - Armizan

23/06/2026 01:05 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- MADANI Mart bukan inisiatif rasmi kerajaan, sebaliknya jenama peruncitan swasta yang dimiliki oleh Yayasan MADANI, manakala operasinya dikendalikan entiti perniagaan yang memperoleh lesen daripada yayasan itu menerusi proses permohonan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata walaupun MADANI Mart tidak diuruskan secara langsung oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), namun ia masih tertakluk di bawah penguatkuasaan kementerian itu.

Katanya, Yayasan MADANI didaftarkan melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di bawah Seksyen 45 Akta Syarikat 2016 sebagai sebuah syarikat berhad menurut jaminan.

“Entiti perniagaan yang menjalankan aktiviti berkaitan barang kawalan berjadual adalah tertakluk kepada peruntukan Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan perlu mendapatkan Lesen Barang Kawalan Berjadual (CSA) daripada KPDN.

“Berdasarkan rekod kementerian, dua cawangan MADANI Mart memiliki lesen CSA yang didaftarkan atas dua entiti perniagaan yang bertindak sebagai operator,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai status terkini pelaksanaan inisiatif MADANI Mart termasuk jumlah cawangan yang beroperasi, permohonan dan usahawan yang terlibat.

Dalam pada itu, Armizan berkata tiada peruntukan undang-undang yang melarang mana-mana individu, termasuk anggota pentadbiran kerajaan, daripada menjadi ahli lembaga pemegang amanah sesebuah yayasan.

Beliau berkata aspek pemantauan terhadap yayasan berkenaan dilaksanakan oleh SSM melalui semakan penyata tahunan dan penyata kewangan yang diaudit bagi memastikan segala hasil atau keuntungan digunakan selaras dengan objektif penubuhan yang dinyatakan dalam perlembagaan yayasan.

Armizan menjawab soalan tambahan Rosol mengenai penglibatan beberapa individu yang mempunyai hubungan dengan kerajaan, termasuk timbalan menteri dan pegawai sebuah kementerian dalam Yayasan MADANI yang dikhuatiri berlaku konflik kepentingan.

-- BERNAMA 

 

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2571828