KUANTAN, 23 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang menyita gas petroleum cecair (LPG), tong LPG, serta pelbagai barangan lain bernilai lebih RM400,000 di Bentong semalam.
Pengarah KPDN Pahang Jezlily Jamaluddin berkata tindakan itu dilakukan menerusi Ops Tiris 4.0 Bersepadu yang dijalankan hasil risikan selama dua minggu serta maklumat awam berhubung sebuah kawasan berpagar yang dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan LPG.
“Ketika pemeriksaan dijalankan, pihak penguat kuasa menemukan sejumlah besar LPG yang disimpan di dalam sebuah lori semitrailer. Hasil pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 829 tong LPG pelbagai kapasiti disimpan di lokasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jezlily berkata siasatan awal mendapati premis berkenaan tidak memiliki lesen atau sebarang kebenaran yang sah daripada Pengawal Bekalan untuk menyimpan barang kawalan berjadual sebagaimana yang ditetapkan di bawah peruntukan undang-undang.
Beliau berkata pihaknya turut menyita dokumen berkaitan, sebuah lori bersama semitrailer serta barangan lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu bagi tujuan siasatan lanjut dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM405,338.
Kes disiasat di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 (Akta 122) kerana disyaki menyimpan barang kawalan berjadual di premis yang tidak dilesenkan atau tanpa kebenaran sah daripada Pengawal Bekalan.
Jezlily berkata KPDN Negeri Pahang memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti penyimpanan, pengedaran atau urus niaga barang kawalan berjadual yang menyalahi peruntukan undang-undang
Beliau berkata tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan bekalan barang kawalan di negeri ini sentiasa terpelihara dan tidak disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
-- BERNAMA