KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Kerjaya Prospek Group Bhd (KPGB) telah mendapat kontrak pembinaan RM488.40 juta di Pulau Pinang daripada Persada Mentari Sdn Bhd (PMSB), sebuah anak syarikat tidak langsung Eastern & Oriental Bhd (E&O).
KPGB melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata anak syarikat milik penuhnya, Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd (KPM) telah menerima surat anugerah (LOA) bagi kontrak kerja itu, yang melibatkan pelaksanaan dan penyiapan cadangan pembangunan yang terdiri daripada dua fasa kerja bangunan di Pulau Andaman, Pulau Pinang.
"Kontrak akan bermula pada 1 Julai 2026 dan akan disiapkan dalam tempoh 42 bulan dari tarikh permulaan," katanya.
Penerimaan kontrak tersebut dijangka menyediakan aliran pendapatan tambahan untuk kumpulan dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Kumpulan itu juga berkata kontrak berkenaan akan terus meningkatkan dan mengukuhkan tempahan dalam tangan sedia ada kumpulan.
"Kontrak itu tidak akan memberi kesan ke atas modal saham terbitan syarikat tetapi ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan serta aset bersih sesaham kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 2026 hingga 2029," katanya lagi.
-- BERNAMA