EKONOMI

Penerbangan Pulau Pinang-Jinan Sasar Pengukuhan Sambungan Udara Dengan Utara China

23/06/2026 03:29 PM

GEORGE TOWN, 23 Jun (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang sedang meninjau kemungkinan melancarkan penerbangan terus antara Pulau Pinang dan Jinan sebagai sebahagian daripada usahanya untuk mengukuhkan hubungan udara dengan utara China selain memperluaskan jangkauan pasaran pelancongan negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata cadangan itu dibincangkan semasa lawatan delegasi kerajaan Pulau Pinang ke Wilayah Shandong, China baru-baru ini, yang mana mereka bertemu dengan pihak pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Jinan Yaoqiang.

Delegasi itu berada di Shandong untuk mempromosikan Pulau Pinang melalui Jerayawara Pelancongan Pulau Pinang-Qingdao selain mengukuhkan kerjasama pelancongan dan penerbangan dengan pihak berkepentingan di wilayah itu.

 

"Perbincangan dengan pegawai lapangan terbang tertumpu kepada kemungkinan mewujudkan laluan terus Jinan-Pulau Pinang, memandangkan Shandong, salah satu wilayah paling ramai penduduk dan ekonomi penting di China, membentangkan potensi pelancongan yang besar kepada Pulau Pinang. Jinan, ibu kota Wilayah Shandong, mempunyai populasi lebih daripada 9.6 juta, menggariskan potensi pasarannya yang besar," katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Wong berkata pelancaran penerbangan terus Qingdao-Pulau Pinang pada 31 Mac tahun ini telah menyediakan asas yang kukuh kepada Pulau Pinang untuk menerokai Shandong serta pasaran pelancongan utara China yang lebih luas.

“Sekiranya Pulau Pinang boleh meneroka perkhidmatan Jinan-Pulau Pinang secara terus sebagai tambahan kepada laluan Qingdao sedia ada, ini akan membantu mewujudkan rangkaian penerbangan yang lebih komprehensif dan pelbagai dimensi di Shandong." tambahnya.

Wong berkata rangkaian kereta api berkelajuan tinggi China yang luas akan membolehkan pengembara dari seluruh wilayah membuat sambungan dengan mudah ke lapangan terbang Jinan atau Qingdao sebelum terbang terus ke Pulau Pinang.

Memposisikan kedua-dua bandar itu sebagai hab pintu masuk akan melonjakkan kebolehcapaian bagi pengembara dari Shandong sambil meningkatkan keterlihatan dan daya tarikan Pulau Pinang di utara China.

Beliau berkata Pulau Pinang telah mencapai kemajuan yang ketara dalam mengembangkan hubungan udaranya dengan China sejak tiga tahun lalu.

Pada Ogos 2023, Pulau Pinang menjadualkan penerbangan terus ke Guangzhou dan Hong Kong sahaja, tetapi kini menikmati perkhidmatan berjadual langsung ke lapan bandar raya China iaitu Guangzhou, Xiamen, Hong Kong, Shanghai, Shenzhen, Chengdu, Qingdao dan Chongqing.

Dengan memasukkan penerbangan sewa antara Kunming dan Pulau Pinang, beliau berkata negeri itu kini dihubungkan dengan sembilan bandar utama China melalui perkhidmatan udara terus.

“Ini mencerminkan pengiktirafan dan permintaan yang semakin bertambah daripada pasaran China untuk produk pelancongan Pulau Pinang, warisan budaya, pengalaman kulinari dan daya tarikan bandar raya ini,” katanya.

Beliau turut menekankan pertumbuhan berterusan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, yang mencatatkan 8.31 juta pergerakan penumpang pada 2025 berbanding 7.47 juta pada 2024, mewakili kenaikan sebanyak 11.25 peratus.

Projek pembesaran lapangan terbang yang sedang berjalan, yang dijangka siap menjelang 2028, akan mengembangkan kapasiti pengendalian penumpang tahunan kepada 12 juta penumpang dan menyokong pertumbuhan pelancongan di masa akan datang, pembangunan laluan antarabangsa serta ekonomi serantau.

“Penglibatan kerajaan negeri dengan bandar raya, lapangan terbang dan syarikat penerbangan China merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjangnya bagi menyediakan kapasiti lapangan terbang yang diperluas menjelang 2027 dan 2028.

“Usaha kami hari ini adalah untuk memastikan sebaik sahaja pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang selesai, Pulau Pinang akan bersedia dengan rangkaian laluan yang lebih kukuh, pangkalan pelawat yang lebih luas dan persediaan pasaran yang lebih matang bagi menyambut fasa pertumbuhan seterusnya dalam industri pelancongan,” katanya lagi.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2571960