IPOH, 23 Jun (Bernama) -- Nilai kerugian akibat bencana ribut yang melanda beberapa kawasan di Bercham pada 19 Jun lepas dianggarkan melebihi RM1.2 juta, dengan kira-kira 460 keluarga terjejas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bercham Ong Boon Piow berkata nilai kerugian tersebut berdasarkan tahap kerosakan yang dialami penduduk termasuk kediaman, harta benda dan kemudahan lain.
“Setakat ini hampir 460 keluarga dikenal pasti terjejas, namun angka itu dijangka meningkat berikutan masih terdapat segelintir pemilik rumah yang belum membuat laporan rasmi kepada pihak berkuasa.
“Ini kerana ada rumah yang disewakan, ditinggalkan kosong atau pemilik berada di luar kawasan ketika kejadian ribut berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita di Anjung Bercham, di sini hari ini.
Ong berkata pada masa ini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan kerajaan negeri telah menyalurkan bantuan wang ihsan berjumlah RM1,000 kepada setiap keluarga yang terjejas bagi meringankan beban mereka.
Beliau berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang meneliti bentuk bantuan bersesuaian untuk disalurkan kepada mangsa berdasarkan data kerosakan yang dikumpulkan di kawasan terjejas.
“Antara bantuan tersebut termasuk pembinaan semula kediaman yang mengalami kerosakan menyeluruh atau musnah sepenuhnya bagi memastikan mangsa dapat kembali mendiami rumah mereka dengan selamat,” katanya.
Sementara itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua agensi terlibat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Majlis Bandaraya Ipoh, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Tenaga Nasional Berhad, pasukan sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu operasi pemulihan pascabencana.
Dalam kejadian pada 19 Jun lepas, lebih 200 kediaman di lima kawasan perumahan di sekitar kawasan Bercham terjejas susulan hujan lebat berterusan dan angin kencang selama hampir dua jam.
-- BERNAMA