KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperuntukkan RM200 juta di bawah Program Lestari Niaga @ Kuala Lumpur 2026 bagi membangunkan semula dan menambah baik kemudahan penjaja di 287 lokasi di ibu negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata inisiatif berskala besar itu akan memberi manfaat kepada lebih 11,000 peniaga dan penjaja kecil bagi memastikan mereka dapat beroperasi dalam persekitaran lebih selamat, tersusun dan kondusif.
Beliau berkata DBKL sentiasa mengambil pendekatan adil dengan mempertimbangkan pandangan semua pihak berkepentingan termasuk penduduk, peniaga dan penyewa bangunan dalam melaksanakan program penempatan semula dan naik taraf kawasan penjaja.
“Tahun ini, DBKL akan melaksanakan program ini di banyak lokasi. Dalam isu penempatan peniaga kecil, DBKL perlu mempertimbangkan pelbagai suara termasuk penduduk yang mahu kelancaran trafik, peniaga serta penyewa bangunan untuk menjalankan perniagaan.
“Kita kena bersikap adil kepada semua pihak kerana setiap mereka mempunyai pandangan tersendiri mengenai lokasi yang sesuai,” katanya kepada pemberita selepas meninjau projek naik taraf kemudahan penjaja berhampiran UTC Sentul di sini hari ini.
Hadir sama Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud dan Ahli Parlimen Batu P. Prabakaran.
Berhubung projek menaik taraf kemudahan penjaja di UTC Sentul yang tular di media sosial baru-baru ini, Hannah berkata beliau difahamkan DBKL telah menjalankan sesi libat urus dan melaksanakan konsep pembangunan semula selepas mengambil kira semua maklum balas diterima.
Beliau berkata kerja perombakan struktur sedia ada bukan bertujuan menghalau peniaga, sebaliknya untuk membina semula 20 unit kios modular baharu yang lebih selesa dengan kos RM1.6 juta yang bermula pada 15 Jun dengan jangkaan siap sebelum Oktober.
Sementara itu, Fadlun berkata bagi meringankan beban 20 peniaga aktif yang terjejas sepanjang tempoh pembinaan tersebut, DBKL buat kali pertama memperkenalkan pemberian bantuan khas sebanyak RM1,500 sebulan.
Beliau berkata pendekatan bantuan kewangan secara terus itu lebih efisien berbanding penyediaan tapak sementara yang bukan sahaja menelan kos tinggi, tetapi ada kalanya kurang strategik sehingga menjejaskan jumlah pelanggan berbanding lokasi asal.
Fadlun berkata selepas UTC Sentul, projek naik taraf serentak yang menggunakan pendekatan pemberian insentif khas akan diteruskan di beberapa lokasi lain termasuk di Jalan Dato Senu, Pudu Ulu dan Bandar Tun Razak.
Berhubung program Lestari Niaga, Fadlun berkata peruntukan keseluruhan RM200 juta itu melibatkan pelbagai kategori penjaja di bawah seliaan DBKL secara berperingkat, dengan fasa awal memfokuskan kepada 224 lokasi.
“Daripada jumlah keseluruhan terlibat, lebih 4,000 ialah penjaja tepi jalan manakala 5,000 lagi peniaga yang beroperasi di bawah aset Datuk Bandar dan baki kira-kira 1,000 ialah kategori permohonan semula,” katanya.
-- BERNAMA