POLITIK

Puad Zarkashi Keluar UMNO Kerana Kecewa Anak Tidak Jadi Calon DUN Rengit - Asyraf Wajdi

25/06/2026 02:38 PM

JOHOR BAHRU, 25 Jun (Bernama) -- Tindakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi keluar daripada parti disebabkan tidak berpuas hati selepas anak beliau tidak dipertimbang sebagai calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ketika mendedahkan perkara itu, Asyraf Wajdi berkata beliau amat kesal dengan kenyataan berbaur fitnah Mohd Puad itu yang memberikan alasan utama keluar parti dengan mengaitkan kononnya kerana Istana mengawal UMNO Johor sehingga menitahkan pembubaran DUN Johor pada 1 Jun lepas.

Beliau berkata Mohd Puad sendiri pernah mengugut untuk menghentam parti serta keluar UMNO jika kemahuannya itu tidak dipenuhi kepimpinan tertinggi.

“Beliau sendiri menulis kepada saya secara panjang lebar mengugut untuk keluar parti dan akan menghentam parti sekiranya kepimpinan tertinggi UMNO tidak mempertimbangkan untuk anak beliau sebagai calon di DUN Rengit.

“Benar, anaknya masih muda dan berpotensi besar untuk dilatih dan diangkat sebagai pemimpin. Namun, tentulah parti mengambil kira banyak faktor dalam pemilihan seseorang calon dalam satu-satu pilihan raya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Asyraf Wajdi berkata Mohd Puad juga sebelum ini pernah membuat ugutan serupa untuk keluar dari parti jika tidak dicalonkan semula sebagai Ahli Parlimen Batu Pahat ketika Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Presiden UMNO.

Katanya UMNO bukanlah parti warisan ‘anak beranak’ yang mesti mengutamakan keluarga dan suku sakat untuk menjadi pemimpin.

Beliau berkata perjuangan UMNO jauh lebih besar daripada kepentingan peribadi, tuntutan keluarga atau rasa kecewa individu kerana parti itu telah banyak berjasa, mengangkat dan memberi ruang kepada ramai pemimpin untuk berkhidmat serta membina nama.

“Maka amat tidak wajar, setelah segala ruang, kedudukan dan manfaat diperoleh, parti sendiri pula mahu diugut dan dihentam hanya kerana kehendak peribadi tidak dipenuhi," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata UMNO mesti terus berdiri sebagai parti perjuangan bangsa, agama dan tanah air serta tidak tunduk kepada tekanan mana-mana individu.

Mohd Puad menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook hari ini mengumumkan keluar daripada UMNO berkuat kuasa serta-merta dan menyatakan keputusan itu dibuat tanpa sebarang paksaan dan bagi membolehkan beliau menyuarakan pandangan secara bebas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi PRN Johor pada 27 Jun ini, manakala hari pengundian pada 11 Julai.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi UMNO Johor Datuk Seri Ahmad Maslan dalam hantaran di Facebook, menyifatkan tindakan Mohd Puad keluar parti sebagai perbuatan pelik yang bukan kali pertama dilakukan veteran politik itu menjelang pilihan raya.

Beliau berkata sukar untuk memahami secara rasional tindakan Mohd Puad yang cuba menyalahkan pihak lain berhubung keputusannya meninggalkan UMNO.

Sehubungan itu, Ahmad menasihati agar anak Mohd Puad berjuang dengan tertib, selain kekal tabah dan setia bersama parti tersebut.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2572833