AM

Sultan Pahang, Tengku Ampuan Zahir Ucapan Takziah Kepada Keluarga Tok Luar Datuk Jamaluddin

28/06/2026 02:58 PM

KUANTAN, 28 Jun (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Tok Luar Datuk Jamaluddin Ahmad yang meninggal dunia, pagi tadi. 

Menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang, baginda berdua menzahirkan rasa amat sedih atas pemergian Allahyarham yang disifatkan sentiasa menunjukkan kesetiaan yang tinggi kepada institusi Kesultanan Pahang.

“Baginda turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa, diterima segala amal kebajikan serta ditempatkan dalam kalangan hamba Allah SWT yang beriman dan beramal soleh,” menurut hantaran itu.

Jamaluddin meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pada 6.48 pagi.

Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang juga berharap seluruh ahli keluarga Allahyarham dikurniakan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian serta kehilangan insan yang dikasihi.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan para solihin. Al-Fatihah,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2574049