JAKARTA, 28 Jun (Bernama) -- Dua daripada gunung berapi paling aktif di Indonesia iaitu Gunung Semeru di Jawa Timur dan Gunung Lewotobi Laki-laki di Nusa Tenggara Timur, meletus beberapa kali pada Ahad dan menghamburkan kepulan-kepulan abu setinggi kira-kira satu kilometer dari puncak masing-masing.
Menurut Agensi Geologi Indonesia, Gunung Semeru dilaporkan meletus sebanyak lima kali sepanjang hari ini, dengan letusan terbaharu pada 12.16 tengah hari waktu tempatan yang menghasilkan kepulan abu setinggi kira-kira 1,000 meter dari puncak.
Pemerhati gunung berapi, Mukdas Sofian dalam laporan yang disiarkan di laman sesawang agensi itu berkata, kepulan abu berwarna putih hingga kelabu dengan keamatan tebal dilihat bergerak ke arah barat daya, sementara letusan berkenaan dikesan berlarutan selama kira-kira 130 saat.
Beliau berkata gunung berapi itu turut meletus pada 5.35 pagi, 6.32 pagi, 9.11 pagi dan 11.37 pagi dengan ketinggian kepulan abu antara 500 hingga 1,000 meter.
Sementara itu, Gunung Lewotobi Laki-laki pula mencatatkan enam kali letusan dengan letusan terbesar diperhatikan pada 10.16 pagi waktu tempatan, yang menghasilkan kepulan abu setinggi kira-kira 900 meter.
Menurut pemerhati gunung berapi, Bramantya Aji Putra Mahendra, kepulan abu berwarna kelabu dengan keamatan tebal itu dikesan bergerak ke arah utara dan timur laut, manakala letusan berlangsung selama kira-kira 149 saat.
Beliau berkata Gunung Lewotobi Laki-laki turut meletus pada 12.10 tengah malam, 4.39 pagi, 9.42 pagi, 10.33 pagi dan 1.40 tengah hari dengan ketinggian kepulan abu antara 300 hingga 500 meter, tetapi kepulan abu bagi dua daripada letusan tidak dapat dilihat ekoran faktor cuaca.
-- BERNAMA