GAYA HIDUP

Tiket Konsert Exists Memento Mori Hampir 'Sold Out'

23/06/2026 09:42 AM

Oleh Wartawan Bernama Lifestyle

BUTTERWORTH, 23 Jun (Bernama) -- Konsert Exists Memento Mori yang dijadual berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 1 Ogos depan nyata menggamit keterujaan peminat, menyaksikan tiket persembahan yang meraikan perjalanan 35 tahun kumpulan muzik legenda itu kini hampir habis dijual. 

Jurucakap yang juga ahli kumpulan, Along berkata sambutan luar biasa itu ditunjukkan sejak hari pertama jualan tiket dibuka, dan kini berbaki tidak sampai  lima peratus.

"Alhamdulillah, tinggal sikit saja lagi.  Kami bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang sudah membeli tiket.

pic-2

“Insya-Allah, kami akan memberikan persembahan terbaik pada malam Konsert Memento Mori itu nanti, pastinya malam itu merupakan malam terbaik buat kita semua," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Menurut pemain gitar utama Exists itu, konsert berkenaan dijangka berlangsung hampir tiga jam dengan 25 hingga 30 buah lagu bakal dipersembahkan, merangkumi karya malar segar yang menjadi identiti Exists sepanjang 35 tahun usianya.

Lagu-lagu yang hampir pasti didendangkan termasuk Langkah Seiringan, Jesnita, Untukmu Ibu dan beberapa lagi lagu hit yang sentiasa mendapat permintaan peminat.

pic-3

"Kami juga akan membawakan beberapa lagu yang sering diminta peminat, termasuk karya yang jarang dipersembahkan dalam konsert sebelum ini," katanya.

Selain menampilkan gandingan dua vokalis, Mamat dan Ezad, konsert itu turut menjanjikan kelainan menerusi susunan muzik baharu yang disesuaikan khas untuk persembahan berkenaan.

Dalam pada itu, Along turut menzahirkan hasrat Exists untuk melihat peminat hadir dengan menggayakan fesyen era 1980-an selari dengan tema yang diketengahkan pada malam konsert tersebut.

pic-4

"Kami mahu semua yang hadir merasai pengalaman berbeza. Jadi, kami memilih tema 80-an dan mengalu-alukan peminat untuk berpakaian mengikut tema itu bagi menghidupkan suasana nostalgia," katanya, kumpulan itu kini sedang rancak menjalani latihan sempena konsert tersebut.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata Exists juga bakal melancarkan single baharu mereka sebelum konsert itu berlangsung.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2571780