Oleh Hasnah Jusid dan Nur Fatin Mohmad Kadenen
JOHOR BAHRU, 29 Jun (Bernama) -- Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 mempunyai kekuatan tersendiri menerusi pendekatan menyeluruh serta penekanan terhadap kesinambungan pentadbiran bagi meraih keyakinan rakyat, termasuk pengundi atas pagar.
Penganalisis politik daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata manifesto mengandungi 63 tekad berteraskan pelan Maju Johor 2030 itu memfokuskan tiga kumpulan sasar utama, iaitu golongan B40, belia termasuk mahasiswa, serta penduduk bandar dan separa bandar.
Mazlan yang merupakan Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM berkata antara kekuatan utamanya ialah manifesto itu tidak bermula daripada sifar, sebaliknya dibina berasaskan dasar dan program yang telah dilaksanakan sepanjang penggal pentadbiran BN sebelum ini.
"Sebahagian besar perkara yang ditawarkan dalam manifesto ini sebenarnya telah mula dilaksanakan pada penggal lepas, manakala selebihnya merupakan kesinambungan dan penambahbaikan kepada dasar sedia ada.
"Perkara ini memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa apa-apa yang dijanjikan bukan sekadar janji pilihan raya, tetapi mempunyai rekod pelaksanaan dan hala tuju yang jelas sekiranya BN diberi mandat sekali lagi," katanya kepada Bernama.
Manifesto bertemakan “Maju Johor, Kestabilan Dikekalkan, Kemajuan Diteruskan” yang dilancarkan pada Jumaat lepas itu dirangka berasaskan pengalaman mentadbir serta rekod pencapaian kerajaan negeri sepanjang empat tahun lepas.
Daripada 63 tekad berkenaan, BN Johor mengetengahkan 11 inisiatif utama yang memberikan kesan langsung kepada kehidupan rakyat merangkumi aspek kebajikan, perumahan, pekerjaan, perniagaan dan pendidikan.
Mazlan berkata tawaran seperti memperkukuh Bantuan Kasih Johor secara bersasar, Bantuan Rumah Pertama, Bantuan Masuk Rumah dan Bantuan Sewa Rumah, selain mewujudkan 200,000 peluang pekerjaan serta pengecualian bayaran lesen perniagaan, mampu memberikan impak langsung kepada kumpulan sasar.
Katanya, manifesto itu dilihat realistik memandangkan Johor mempunyai kedudukan ekonomi yang kukuh, hasil negeri yang baik serta aliran pelaburan yang berterusan, sekali gus memberikan keupayaan kepada kerajaan negeri untuk merealisasikan tawaran berkenaan dalam tempoh lima tahun.
"Pengundi akan menilai bukan sahaja janji yang ditawarkan, tetapi juga rekod pentadbiran sebelum ini. Faktor kesinambungan itu menjadi antara kekuatan utama manifesto BN kerana rakyat dapat melihat perkara yang telah dilaksanakan dan yang akan diteruskan," katanya.
Sementara itu, penyelidik di Kumpulan Penyelidikan Kenegaraan dan Kesejahteraan Sosial UTM Prof Madya Dr Mohd Azhar Abd Hamid menyifatkan tawaran BN sebagai manifesto pembangunan yang mengangkat rekod pentadbiran atau report card terdahulu sebagai sandaran utama.
Beliau berkata fokus utama parti itu adalah untuk mengekalkan kestabilan ekonomi negeri menerusi agenda bernilai tinggi yang menyokong pelan Maju Johor 2030, selain menangani isu ekonomi harian rakyat seperti peluang pekerjaan dan perumahan.
"Kekuatan utama terletak pada rekod pentadbiran, report card penggal yang lepas. Fokus utamanya (dilihat cenderung) terhadap ekonomi, sebab itu sebenarnya bread and butter (sumber pendapatan) kepada rakyat, yang perlu ditangani paling utama," katanya.
Bagaimanapun, Mohd Azhar menyarankan agar setiap inisiatif atau tekad yang ditawarkan disertakan dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi membolehkan rakyat menilai pencapaian kerajaan secara objektif.
"Dalam manifesto memang kita tahu ia bukanlah (sasaran) lengkap, namun begitu, kalau disertakan KPI, beberapa fakta tertentu atau beberapa elemen tertentu itu perlu diperincikan. Ini dari segi sasaran tahunan, garis masa, agensi pelaksana, mekanisme pemantauan dan sebagainya," katanya.
PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.
-- BERNAMA