AM

BANJIR KILAT, POKOK TUMBANG DI SEREMBAN DAN PORT DICKSON

20/06/2024 03:51 PM

PORT DICKSON, 20 Jun (Bernama) -- Beberapa kawasan di Seremban dan Port Dickson mengalami banjir kilat dan pokok tumbang susulan hujan lebat dan ribut pagi tadi.

Menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Sembilan, lokasi terjejas banjir kilat ialah Blok C, Kampung Ismail,  Ampangan, Kampung Paroi, beberapa kawasan di Rasah, Seremban namun tiada mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata selain banjir kilat, kejadian pokok tumbang turut berlaku di Taman Intan Duyung dan Kampung Teluk Kemang, Bagan Pinang di sini awal pagi tadi.

“Pejabat Daerah dan Tanah Seremban serta Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) mengambil langkah segera membantu mangsa banjir kilat serta kejadian pokok tumbang itu.

“Pihak berkuasa tempatan juga turun ke lokasi untuk memastikan segala keperluan individu terjejas ini diambil perhatian dan tindakan segera dapat dilakukan,” katanya kepada pemberita pada Program JIWA Komuniti MADANI Peringkat Parlimen Port Dickson sempena Korban Perdana di sini hari ini.

Aminuddin berkata pihaknya akan menggantikan bumbung rumah yang rosak akibat ribut dan anggota penguat kuasa terlibat juga akan menjalankan kerja pembersihan dan pengalihan pokok tumbang.

Tinjauan Bernama mendapati banjir kilat di beberapa kawasan terjejas telah surut dan penduduk sedang bergotong-royong membersihkan kawasan masing-masing.

-- BERNAMA


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan