EKONOMI

MALAYSIA LULUSKAN PELABURAN BERJUMLAH RM83.7 BILION PADA SUKU PERTAMA 2024

21/06/2024 02:44 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Malaysia mencatatkan nilai pelaburan yang diluluskan berjumlah RM83.7 bilion merentasi pelbagai sektor bagi tempoh Januari hingga Mac 2024, mewakili peningkatan 13 peratus daripada RM74.1 bilion bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pelaburan yang diluluskan berjumlah hampir RM84 bilion untuk suku pertama 2024 itu mencerminkan kepercayaan pelabur terhadap Malaysia.

“Diharapkan momentum (pelaburan) ini akan berterusan, tetapi banyak isu yang mungkin agak mencabar (antaranya) isu dagangan geopolitik melibatkan China dan Amerika Syarikat (AS). Kita perlu memantau perkara ini dengan teliti,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Penyelesaian Kecerdasan Kelestarian Berpusat (CSI) Bursa Malaysia Bhd di sini hari ini.

Sementara itu, Tengku Zafrul dalam satu kenyataan berkata kerjasama rapat MITI dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bukan sahaja berjaya mencapai jumlah pelaburan sedemikian, tetapi turut mempercepatkan peluang perniagaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta menjana pekerjaan untuk rakyat Malaysia.

Beliau berkata bukti sebenar daya saing Malaysia perlu dilihat kepada aliran masuk pelaburan yang berterusan ke dalam sektor sasaran utama yang digariskan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, termasuk dalam industri pertumbuhan tinggi seperti semikonduktor, pusat data, tenaga boleh baharu (RE) dan kenderaan elektrik.

“Oleh itu, kita akan terus memberi tumpuan kepada pembaharuan industri jangka panjang dan usaha dasar strategik lain untuk memupuk ekosistem pelaburan yang kondusif, bagi memacu produktiviti serta pertumbuhan inklusif yang mampan, seterusnya akan membuka jalan untuk Malaysia menjadi satu daripada 30 ekonomi terbesar di dunia menjelang 2033,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Sikh Shamsul Ibrahim berkata prestasi pelaburan suku pertama 2024 adalah bukti dedikasi MITI dan MIDA untuk menarik pelabur bagi memupuk pertumbuhan dan inovasi.

“Kami teguh dalam misi kami untuk melonjakkan Malaysia ke tahap ekonomi yang belum pernah berlaku sebelum ini melalui kerjasama strategik dengan MITI serta kementerian dan agensi utama lain.

“Visi kami adalah untuk membentuk Malaysia menjadi peneraju dalam kehebatan teknologi, amalan mampan dan landskap pelaburan yang berkembang maju,” katanya.

Menerusi dasar yang memandang ke hadapan dan inisiatif berani, beliau berkata Malaysia dikenali sebagai destinasi utama untuk pelabur global dan tempatan, memacu kemakmuran rakyat, PKS dan komuniti perniagaan yang lebih luas.

“Usaha bersepadu ini akan memacu kita ke arah pertumbuhan dan inovasi yang tiada tandingan pada masa depan,” katanya.

Menurut MIDA, jumlah pelaburan yang diluluskan untuk suku pertama 2024 merangkumi 1,257 projek, yang dijangka menjana 29,027 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat Malaysia.

"Pelaburan asing menyumbang 56.2 peratus, atau RM47 bilion daripada jumlah pelaburan, manakala baki pelaburan domestik menjadikan baki 43.8 peratus, bernilai RM36.7 bilion.

“Austria mendahului senarai pelabur asing dengan margin yang sangat besar, dengan RM30.1 bilion (64 peratus) dalam pelaburan yang diluluskan, diikuti Singapura (RM5.6 bilion), Belanda (RM3.6 bilion), China (RM3 .4 bilion) dan AS (RM632.8 juta),” katanya.

Mengikut negeri, MIDA berkata Kedah mencatatkan nilai tertinggi pelaburan yang diluluskan sebanyak RM31.3 bilion, diikuti Kuala Lumpur (RM21.5 bilion), Selangor (RM12.4 bilion), Sarawak (RM4.2 bilion) dan Johor ( RM4.1 bilion).

“Sektor sasaran yang ditetapkan oleh Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) menyumbang RM53.7 bilion, kira-kira 64.1 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan merentasi 252 projek, yang dijangka mewujudkan 17,056 peluang pekerjaan baharu.

“Lima parameter yang menjadi teras NIA iaitu meningkatkan kompleksiti ekonomi, mencipta peluang pekerjaan bernilai tinggi, mengembangkan jalinan domestik, membangunkan kluster baharu dan sedia ada, dan meningkatkan penglibatan menyeluruh,” katanya.

Daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, MIDA berkata RM47.5 bilion, atau 56.8 peratus, terletak di bawah bidang kuasa MITI/MIDA, meliputi 500 projek dengan 18,517 peluang pekerjaan baharu.

Sektor pembuatan Malaysia mengalami perubahan momentum yang ketara dengan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM43 bilion, mencatatkan peningkatan luar biasa sebanyak 174.9 peratus berbanding suku pertama 2023, dengan elektrik dan elektronik (E&E) menjadi industri utama yang menyokong pertumbuhan ekonomi pembuatan dengan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM34.3 bilion.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan