AM

NIKMATI SUASANA DESA SEMPENA HARI TAMAN PUTRAJAYA 2024

22/06/2024 01:35 PM

PUTRAJAYA, 22 Jun (Bernama) -- Hari Taman Putrajaya yang diadakan buat julung kalinya di Taman Warisan Pertanian di Presint 16 di sini bermula hari ini hingga esok menampilkan suasana desa di bandar dengan pelbagai aktiviti tradisional disediakan buat pengunjung.

Bertemakan ‘Mengimbau Zaman Dulu-Dulu’, antara aktiviti yang boleh dilakukan pengunjung termasuk  bermain permainan tradisional seperti congkak dan sepak raga, menangkap belut di sawah, menanam padi dan aktiviti mengacau dodol.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Fadlun Mak Ujud berkata Hari Taman Putrajaya yang dijangka menggamit lebih 5,000 pengunjung itu bertujuan mengetengahkan kepentingan taman di kawasan  kediaman dan memberi peluang kepada penduduk sekitar untuk menikmati hasil tanaman di taman berkenaan.

“Masuk adalah percuma dan pengunjung juga boleh menikmati jualan bufet buah-buahan tempatan seperti durian, rambutan dan manggis pada harga RM10 bagi pengunjung dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak berumur tujuh tahun ke atas,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Hari Taman Putrajaya di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang turut meluangkan masa hampir dua jam di taman tersebut.

Sementara itu PPj dalam kenyataan menyebut penganjuran Hari Taman Putrajaya juga bertujuan mempromosikan keunikan dan kepelbagaian 12 taman awam di Putrajaya sekali gus menjadikannya sebagai tarikan pelancongan domestik dan antarabangsa.

Taman Warisan Pertanian dibangunkan untuk memelihara warisan dan pertanian Malaysia dengan menawarkan keunikan dusun dalam bandar berkonsepkan agro pelancongan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan