BERITA TERGEMPAR   PM Anwar ulangi pendirian Malaysia kekal tegas dalam isu Gaza | 
 AM

MCMC SEKAT 549 LAMAN LUCAH, 69 LAMAN PELACURAN SETAKAT 1 JUN - TEO

24/06/2024 01:56 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Sebanyak 549 laman lucah dan 69 laman pelacuran telah disekat Suruhanjaya Komunikasi dan Muntimedia Malaysia (MCMC) bagi tempoh 1 Jan hingga 1 Jun tahun ini, demikian Dewan Rakyat dimaklumkan, hari ini.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata dalam tempoh sama, MCMC  dengan kerjasama penyedia platform media sosial terlibat telah menurunkan 308 kandungan lucah dan 838 kandungan berunsur pelacuran di pelbagai platform media sosial, termasuk platform X dan Telegram.

“Bagi tindakan penguatkuasaan pula, sebanyak tujuh kes masih di bawah siasatan MCMC melibatkan kandungan lucah. Tindakan ini akan diteruskan oleh MCMC dari semasa ke semasa berdasarkan pemantauan dan aduan yang diterima daripada pihak berkuasa dan orang awam,” katanya pada sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Siti Aminah Aching (BN-Beaufort) mengenai perancangan kerajaan untuk membanteras budaya dark side di media sosial dan tindakan terhadap pengendali akaun yang menawarkan aktiviti pelacuran dalam talian seperti platform X dan Telegram.

Teo berkata sesi libat urus bersama penyedia platform media sosial juga giat dijalankan bagi mengukuhkan komitmen dan kerjasama untuk memastikan keberkesanan inisiatif pemantauan dan pengawalan kandungan yang memudaratkan dalam platform media sosial.

Beliau berkata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil akan mengadakan pertemuan dengan semua penyedia platform media sosial pada bulan depan bagi membincangkan perkara tersebut.

Dalam pada itu, Teo memaklumkan kementerian dan MCMC masih menunggu maklum balas daripada pengendali aplikasi X susulan penyedia platform itu bakal membenarkan pengguna memuat naik, mencipta dan menyebar kandungan lucah. 

“Susulan polisi baharu X itu, MCMC telah menghantar surat rasmi bantahan kepada pihak X pada Jun ini dan memaklumkan pandangan kita bahawa kandungan itu memudaratkan malah melanggar undang-undang negara selain bercanggah dengan prinsip Rukun Negara, amalan budaya dan agama di negara ini.

“Kita masih tunggu maklum balas mereka dan tindakan lanjut akan diambil,” katanya menjawab soalan tambahan Siti Aminah berhubung cabaran yang dihadapi MCMC untuk mengekang kandungan lucah dan pelacuran di sosial media.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan