AM

HARI PENEROKA FELDA TAWAR CABUTAN BERTUAH KERETA, 20 MOTOSIKAL ELEKTRIK

24/06/2024 02:08 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Sebanyak 20 motosikal elektrik dan sebuah kereta menanti pengunjung bertuah sempena sambutan Hari Peneroka FELDA yang akan berlangsung dari 12 hingga 14 Julai di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang.

Pengarah Program Hari Peneroka FELDA 2024 Razuwan Che Ros berkata selain itu, pelbagai aktiviti disediakan melibatkan 12 kluster sepanjang tiga hari progam berlangsung.

“Kita ada banyak program yang kita pecahkan kepada 12 kluster dengan lebih daripada 30 acara disediakan dan kluster yang terlibat antaranya kluster 1 berkaitan usahawan. Kita juga bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi untuk adakan pameran mini usahawan desa termasuk usahawan kecil.

“Melalui kluster kerohanian iaitu acara selawat, kita akan jemput kumpulan nasyid Inteam, penyanyi Mawi untuk berselawat. Kita juga ada ‘food festival’ yang akan kita bawakan sajian istimewa daripada 317 rancangan FELDA untuk orang ramai nikmatinya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV hari ini.

Razuwan berkata pada sambutan Hari Peneroka FELDA itu juga, himpunan motosikal dikenali sebagai ‘Himpunan Dua Roda’ akan diadakan bagi memeriahkan lagi suasana.

“Kita akan himpun penunggang motosikal pada 13 Julai dan kita jangka lebih 50,000 penunggang motosikal akan terlibat...setakat ini kita sudah terima lebih 32,000 pendaftaran.

“Menerusi Festival FGV, kita akan adakan ‘mini mart’ FGV yang akan menawarkan produk FGV dengan harga yang amat berpatutan selain karnival kerjaya, pameran pendidikan dengan lebih 20 ‘master class’ disediakan sebagai pentas berkongsi kejayaan individu dalam pelbagai bidang termasuk Dr Malar, Ryan Bakery dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya sambutan Hari Peneroka FELDA adalah program terbesar dilaksanakan dalam program FELDA dan menjadi wadah bagi menghargai warga peneroka FELDA yang telah wujud sejak 68 tahun lepas.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan