BERITA TERGEMPAR   PM Anwar ulangi pendirian Malaysia kekal tegas dalam isu Gaza | 
 AM

SULTAN SELANGOR, TENGKU PERMAISURI BERKENAN BERANGKAT KE RWMF 2024

28/06/2024 11:12 PM

SANTUBONG, 28 Jun (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, malam ini berkenan berangkat ke Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF 2024) yang berlangsung hari ini hingga Ahad di Kampung Budaya Sarawak di sini.

Keberangkatan tiba baginda berdua pada jam 8 malam, disambut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar.

Edisi ke-27 festival yang mengangkat tema ‘Evolusi’, tahun ini membuka tirai dengan penganjuran pelbagai bengkel muzik pada siang, manakala persembahan barisan artis tempatan dan antarabangsa pada sebelah malam.

Antara artis yang menggegarkan pentas hari pertama RWMF termasuk pemenang Anugerah Grammy dan Golden Globe dari Jepun yang terkenal dengan muzik instrumental elektronik, Kitaro dan pemuzik dari negara jiran Rhythm Rebels featuring Selonding Bali Aga.

Selain itu, persembahan pemuzik tempatan seperti The Borneo Collective yang dianggotai artis ‘otai’ Bumi Kenyalang serta Belle Sisoski turut disajikan pada festival berkenaan. 

Terdahulu, Abdul Karim berkata jumlah penjualan tiket tahun ini telah melepasi angka pada edisi sebelumnya. 

Berdasarkan maklum balas memberangsangkan itu, beliau berkata pihaknya akan mempertimbang untuk mempelawa pemuzik antarabangsa terkenal sebagai antara daya tarikan penganjuran RWMF seterusnya.

“Tiket untuk hari pertama dan kedua, tikenya telah habis dijual, mungkin untuk hari ketiga juga akan habis, ini satu indikasi yang bagus.

“Kita akan pertimbang (untuk bawa lebih ramai artis pemenang anugerah). Apa yang bagusnya tahun ini, pemenang Anugerah Grammy (Kitaro) dilihat menjadi penarik penonton dan jualan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak RWMF, di sini, hari ini. 

RWMF 2024 mengetengahkan 20 persembahan, merangkumi 68 pemuzik antarabangsa dari 14 negara di enam benua dan 63 artis Malaysia.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan