AM

HARI HUTAN ANTARABANGSA : TNBYY ULTRA 2024 TARIK LEBIH 600 PESERTA DALAM DAN LUAR NEGARA

30/06/2024 02:46 PM

GUA MUSANG, 30 Jun (Bernama) -- Menyedari keunikan kepelbagaian biologi serta landskap semula jadi yang menarik di Kelantan, seramai 620 peserta dari dalam dan luar negara menyertai program Tok Nenek Bubu Yong Yap (TNBYY) Ultra 2024 sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa ke-53 bertemakan 'Hutan dan Inovasi' peringkat negeri ini.

Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan (Dasar dan Perancangan) Datuk Zahari Ibrahim berkata penganjuran kali ke-4 ini sentiasa mendapat sambutan luar jangkaan bukan sahaja daripada peserta tempatan malah dari luar negara seperti China, Belanda, Amerika Syarikat, Chile, Great Britain, Iraq dan Thailand.

Beliau berkata program penghijauan kawasan bersama masyarakat, badan bukan kerajaan dan agensi kerajaan seperti yang diadakan pada program ini merupakan salah satu program kolaboratif dengan aktiviti penanaman beberapa spesies pokok bagi menzahirkan komitmen jitu kerajaan.

"Usaha-usaha ini akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa untuk membantu Jabatan Perhutanan dan kerajaan Kelantan dalam mempromosikan kawasan ekopelancongan dalam Hutan Simpan Kekal di negeri ini," katanya ketika berucap pada Program TNBYY Ultra 2024 di Eco Rehat dan Rawat (R&R) Lojing Highlands, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zahari berkata pihaknya akan terus memberi sokongan kepada Jabatan Perhutanan Kelantan dalam merealisasikan matlamat untuk menguruskan hutan yang mencukupi bagi kepentingan perkhidmatan ekosistem hutan dan perlindungan alam sekitar ke arah penggunaan sumber secara berkekalan demi generasi akan datang.

"Sehingga 28 Jun lepas, sebanyak 89.9 juta pokok melibatkan 1,835 spesies telah ditanam di seluruh negara dan daripada jumlah itu, sebanyak 9.27 juta pokok ditanam di Kelantan.

"Saya ingin menggalakkan lebih ramai rakyat Kelantan secara amnya dan semua pihak daripada pelbagai latar belakang dan organisasi untuk sama-sama terlibat dalam menyokong agenda penghijauan nasional ini," katanya.

Program sukan lasak TNBYY Ultra 2024 yang berlangsung selama dua hari bermula semalam memperkenalkan sebanyak 10 kategori meliputi kategori 25 kilometer (km) wanita veteran dan terbuka; 25 km lelaki veteran dan terbuka.

Turut dipertandingkan 50 km lelaki veteran, lelaki terbuka, wanita veteran, wanita terbuka, berkumpulan (duo dan trio) dengan peserta perlu merentasi laluan berliku seperti sungai, denai serta bukit.

Sementara itu, pasangan suami isteri yang menjuarai kategori masing-masing iaitu 25 km lelaki veteran dan 25 km wanita veteran Faruz Mustaffa, 54, dan Rahseni Senin, 45, berkata kejayaan yang dikecapi mereka adalah sebagai pembakar semangat untuk generasi muda menceburi sukan lasak bagi memantapkan ketahanan fizikal dan mental selain dapat menimba pengalaman menerokai alam semula jadi.

Faruz berkata dia dan isterinya mula menyertai TNBYY Ultra pada tahun lepas dan merasakan trek laluan dilaluinya sangat mencabar kerana perlu merentasi lereng bukit serta sungai.

"Kami akan berlatih bersama-sama apabila ada kelapangan masa iaitu kira-kira dua jam sehari untuk membuat persediaan menyertai program ini kerana kami sedar laluan yang dilalui agak sukar," katanya.

Turut hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Dr Izani Husin

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan