AM

POLIS MINTA BANTUAN ORANG RAMAI KESAN LELAKI OKU HILANG DI KUALA LIPIS

29/06/2024 05:01 PM

KUANTAN, 29 Jun (Bernama) -- Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) masalah mental yang dilaporkan hilang di Kampung Redan, Mela, Kuala Lipis, kira-kira 241 kilometer dari sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis, Supt Ismail Man berkata kehilangan mangsa dikenali Rosdan Mat, 52, dilaporkan adik ipar (pengadu) pada jam 9.39 pagi.

Beliau berkata sebelum membuat laporan polis pengadu telah pergi ke rumah abang iparnya sekitar jam 8 pagi dan mendapati lelaki itu tiada di rumah.

"Pengadu bersama keluarga dan orang kampung telah melakukan pencarian namun mangsa gagal ditemui sebelum membuat laporan polis selepas tidak menjumpai sebarang petunjuk keberadaan lelaki itu,” katnaya dalam kenyataan hari ini.

Katanya kali terakhir pengadu berjumpa mangsa  yang mempunyai masalah kesihatan mental sejak berusia 14 tahun itu Rabu lepas.

"Polis bersama penduduk kampung telah menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada hari yang sama di kawasan sekitar namun gagal menemui mangsa dan operasi SAR diteruskan semula pagi ini," katanya.

Justeru, Ismail meminta kerjasama orang ramai yang ternampak atau mempunyai maklumat berkaitan Rosdan agar segera menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis di talian 09-3121999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan