EKONOMI

USAHA LAHIRKAN RAMAI BAKAT TEMPATAN PERLU DIDUKUNG PELBAGAI INDUSTRI - TENGKU ZAFRUL

29/06/2024 08:05 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Usaha melahirkan lebih ramai bakat tempatan secara berterusan bukan sahaja harus didukung oleh industri berteknologi tinggi, malah perlu digiatkan oleh pelbagai industri dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara.

Menerusi lawatan rasmi di beberapa fasiliti elektrik dan elektronik (E&E) dan semikonduktor di Pulau Pinang hari ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mendapati syarikat-syarikat berkenaan aktif dalam mendukung pembangunan bakat Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) dan juga Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tempatan.

"Kalau boleh, kita hendak pelbagai industri juga mendukung usaha yang sama untuk melonjakkan sektor perindustrian Malaysia," kata beliau selepas lawatan itu sambil menambah, memupuk bakat adalah tanggungjawab seluruh negara.

Terdahulu, Tengku Zafrul melawat fasiliti Motorola Solutions, Abbot Medical Devices, Pentamaster dan UWC.

Sementara itu, beliau berkata industri perlu lebih giat meningkatkan kesedaran berkenaan jumlah peluang pekerjaan dalam industri berteknologi tinggi.

"Melalui Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) (misalnya), kita menyasarkan 60,000 tenaga mahir berasaskan teknologi dan kejuruteraan untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi yang mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi,” katanya.

Menerusi lawatan hari ini, Tengku Zafrul turut mengambil maklum perkembangan syarikat-syarikat dalam mendukung misi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP2030) dan kesediaan mereka untuk memainkan peranan utama bagi mencapai sasaran NSS.

Antara sektor yang diberi tumpuan di bawah NSS yang dilancarkan akhir bulan lepas adalah sektor E&E dan Pulau Pinang adalah hab bagi semikonduktor negara.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan