AM

KPPB LONJAK KECEMERLANGAN BERNAMA, PERJUANG KEBAJIKAN PETUGAS

30/06/2024 10:38 AM

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Kesatuan Pekerja-Pekerja Bernama (KPPB) memainkan peranan penting dalam melonjak kecemerlangan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) selain memperjuangkan kebajikan warga kerjanya sepanjang 50 tahun ia ditubuhkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin berkata KPPB telah menyuarakan pandangan dan  pelbagai inisiatif merangkumi aspek kebajikan, keselamatan dan kesihatan petugas Bernama.

"KPPB juga berperanan membantu pihak pengurusan mempergiatkan  usaha atau melaksanakan apa juga latihan yang dilihat sesuai untuk warga kerja.

"Jawatankuasa kesatuan itu sendiri mewakili pelbagai bidang dalam Bernama, jadi kami dapat suara daripada setiap jabatan atau bahagian," katanya pada majlis sambutan ulang tahun ke-50 KPPB di sini, malam ini.

KPPB ditubuhkan pada Sept 1974 dan setakat ini disertai lebih 300 petugas Bernama.

Nur-ul Afida berkata antara perkara yang dipersetujui hasil perjuangan KPPB adalah memperkenalkan semula skim perlindungan insurans berkelompok untuk petugas, menambah bilangan klinik panel melalui perkhidmatan PMCare serta peruntukan RM100,000 untuk menyediakan pinjaman bagi pembelian motosikal dan komputer.

"Tidak ketinggalan ialah persetujuan terhadap cadangan KPPB agar pemeriksaan saringan jantung ESP di IJN dibenarkan untuk petugas gred S48 ke bawah dan berumur 40 tahun ke atas... prihatin dengan perkara ini, pihak pengurusan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM50,000 untuk pemeriksaan ini," katanya.

Beliau turut menyuarakan harapan agar KPPB akan terus bergerak aktif dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan ahli-ahlinya serta petugas Bernama. 

"Diharap hubungan erat (antara pengurusan Bernama dan KPPB) ini akan terjalin kerana kita perlukan warga kerja bekerja dalam keadaan harmoni dan  memenuhi apa juga petugas inginkan," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua KPPB Abu Bakar Mohamed berkata kesatuan itu kini giat berusaha untuk memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus petugas Bernama menjadi ahli.

"KPPB akan menjadi lebih kukuh dengan bertambahnya keahlian," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan