DUNIA

RINGGIT TINGGI BERBANDING DOLAR AS DALAM DAGANGAN AWAL

01/07/2024 10:37 AM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS dalam persekitaran sentimen berhati-hati berikutan pasaran terus menerima data penting pada minggu ini, kata ahli ekonomi.  

Pada 9 pagi, ringgit diniagakan kukuh pada 4.7140/7180 berbanding dolar AS daripada 4.7160/7190 pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata akan terdapat beberapa siri Indeks Pengurus Pembelian (PMI) yang akan mempengaruhi sentimen perniagaan.

Beliau berkata Amerika Syarikat (AS) akan mengeluarkan Indeks Pembuatan ISM untuk Jun 2024 pada malam ini, yang telah merosot di bawah 50 mata selama dua bulan berturut-turut.

Selain itu, akan terdapat Tinjauan Pembukaan Pekerjaan dan Perolehan Buruh (JOLTS) pada Selasa, perubahan Pekerjaan ADP pada Rabu dan Senarai Gaji Bukan Ladang (NFP) pada Jumaat.

“Hari ini adalah permulaan dagangan pada separuh kedua 2024. Kami percaya peristiwa penting berhubung pilihan raya di Eropah (UK dan Perancis) serta AS pada November akan mempunyai pengaruh yang besar terhadap sentimen pasaran.

“Selain itu, mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan yang dijadualkan pada 30-31 Julai akan dipantau untuk petunjuk mengenai kemungkinan dasar monetari dilonggarkan dalam masa terdekat,” katanya kepada Bernama. 

Mungkin, perbincangan mengenai kemungkinan penurunan kadar faedah di AS akan menjadi lebih hangat pada separuh kedua 2024,” katanya.

Sementara itu, ringgit kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama dalam dagangan awal.

Ringgit naik berbanding yen Jepun kepada 2.9274/9301 daripada 2.9345/9365 dan meningkat berbanding pound kepada 5.9632/9683 daripada 5.9639/9676, bagaimanapun merosot berbanding euro kepada 5.0643/0685 daripada 5.0494/0526 pada Jumaat lepas.

Ringgit juga kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4777/4809 daripada 3.4792/4816, mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.8307/8472 daripada 12.8508/8646 dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 287.8/288.2 daripada 287.9/288.3 sebelum ini. 

Bagaimanapun, mata wang tempatan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.05/8.06.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan